Elizabeth Tan semakin laris


ELIZABETH TAN merancang untuk merakam sebuah lagu ciptaan komposer Indonesia. Dia juga menyimpan impian bergelar pelakon.

Walaupun teruk dikecam gara-gara persembahan hambar semasa beraksi di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) ke-30 menerusi lagu hitnya Knock Knock, penyanyi Elizabeth Tan tetap tidak patah semangat.

Sedar kekurangan diri, wanita tinggi lampai itu mengakui persembahannya ketika itu sangat memalukan, tambahan pula dia tidak mengambil sebarang kelas vokal seperti penyanyi lain.

Biarpun begitu, ternyata bintang yang menyinari Elizabeth tidak mudah pudar. Tidak terhad dalam bidang nyanyian, tawaran buatnya mencurah-curah.

Terbaharu dia dipilih menjadi penyeri sebuah laman web beli-belah dalam talian, 11street. Menariknya, selain Elizabeth, pelawak dan pelakon Zizan Razak juga dipilih menjadi duta.

Penyanyi yang mesra dibahasakan Lizzy itu juga khabarnya bakal melebarkan sayap ke negara jiran. Pada masa sama, dia kini sedang menjadi juri dalam sebuah pertandingan nyanyian di Indonesia.



BULETINMALAYSIA!: Setelah menerima bermacam-macam kritikan, ternyata Lizzy masih relevan dan diterima khalayak apabila dilantik sebagai duta 11street. Boleh anda komen tentang pemilihan sebagai duta tersebut?

ELIZABERTH TAN: Tidak banyak yang boleh saya katakan selain rasa bersyukur kerana mereka sudi melantik saya sebagai duta. Saya harap sepanjang setahun bersama 11 Street, saya tidak akan mengecewakan mereka dan peminat saya kerana antara kami (Lizzy dan 11street), kedua-duanya masih baharu. Saya harap pelbagai perkara baharu dapat dipelajari dan dipertingkatkan.

Laman web berkenaan masih baharu, boleh kongsikan kenapa anda yakin untuk menerima tawaran menjadi duta laman web tersebut?

Biarpun baru setahun beroperasi, namun saya mempercayai khidmat penjualan barang secara dalam talian yang ditawarkan 11Street. Selain itu, sebagai selebriti, masa saya amat terhad untuk ke pusat membeli-belah. Jadi, saya menerima tawaran menjadi duta kerana secara tidak langsung ia sangat membantu memudahkan proses saya mencari barangan yang diperlukan.

Selain menjadi duta, boleh kongsikan perkembangan terkini anda?

Sekarang, saya sedang menjadi juri dalam sebuah pertandingan nyanyian di Indonesia iaitu Just Duet. Pertandingan tersebut sudah pun bermula dan berlangsung selama lapan minggu.

Anda boleh dikatakan masih baharu dalam bidang nyanyian, tetapi sudah ditawarkan menjadi juri sebuah program pertandingan bakat dan menilai kualiti penyanyi lain. Bagaimana anda berdepan skeptikal jika kualiti nyanyian sendiri dipertikaikan?

Walaupun masih banyak lagi yang perlu diperbaiki, namun saya menganggapnya sebagai rezeki. Pernah juga saya rasa tidak layak untuk menjadi juri, tambahan pula peserta di sana sangat bagus terutamanya daripada segi vokal. Bagaimanapun, saya akan cuba memberikan komen yang terbaik. Saya juga membuat rujukan melalui rancangan realiti lain seperti The Voice dan American Idol untuk mendapatkan idea dalam memberikan kritikan.

Setelah terpilih menjadi juri dalam pertandingan di Indonesia, adakah ia merupakan peluang terbaik untuk melebarkan pengaruh di sana?

Memang itulah harapan saya. Semoga ia menjadi platform untuk saya memasuki industri muzik di Indonesia. Saya juga merancang untuk merakam lagu di sana. Buat masa ini, saya sedang memilih penulis dan penerbit terbaik untuk bekerjasama.

Kini, ramai penyanyi melebarkan sayap ke dunia lakonan, bagaimana dengan anda?

Menjadi seorang pelakon merupakan salah satu daripada impian saya. Selepas pertandingan nyanyian itu tamat, saya mungkin akan menyertai satu uji bakat lakonan. Saya teringin melakonkan watak seperti gangster atau sebagai pengintip yang memerlukan aksi lasak.

Post a Comment

Previous Post Next Post