Bella Dally Impi watak protagonis


REDUP mata gadis jelita ini merenung perubahan rona kehidupannya sekarang berbanding tatkala mula menginjak kaki ke persada seni tanah air sekitar tujuh tahun lepas.

Bulat hati sang figura bernama Bella Dally untuk berhijab tanggal April dua tahun lepas juga bukan lagi rahsia dalam kalangan peminat.

Biar ada yang menyifatkan keputusan itu memudarkan pesona namanya dalam bidang seni, pemilik nama sebenar Nabilah Ali Dally, 25, itu sentiasa percaya dengan rezeki kurniaan Allah.

“Saya masih aktif mengembangkan karier saya terutamanya sebagai duta tudung Ariani meskipun jarang kelihatan di kaca televisyen selepas membuat keputusan untuk berhijrah.

“Sejak dahulu, populariti bukan keutamaan saya. Sebaliknya, saya lebih selesa menjadi diri sendiri yang sekadar dikenali keluarga dan teman-teman rapat,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Sengaja ditebak perbezaan ketara yang diharungi Bella dalam cabang seni sekarang berbanding sebelum berhijab, terukir senyum manis di bibir gadis tinggi lampai itu.

Ingin disayangi

“Ketika itu, saya seringkali ditawarkan watak antagonis sehingga menyebabkan saya pernah terfikir, alangkah baiknya jika saya mendapat watak yang baik-baik.

“Bukan apa, saya cuma teringin untuk disayangi peminat jika menjayakan watak protagonis pada waktu itu,” ungkapnya melentur tawa di bibir.

Cuma satu kata Bella, sesekali dia teringin untuk mencabar kemampuan dirinya untuk mengidam watak berbeza meskipun kini sudah tampil berhijab.

“Biarpun bertudung, saya mahu mempelbagaikan karakter, sebagai wanita psiko contohnya. Sekurang-kurangnya, saya dapat mendalami emosi ketika berkarya dan bukannya sekadar ditentukan oleh luaran semata-mata,” getusnya yang bakal memiliki jenama tudung sendiri iaitu Bella Dally Shawl selepas ini.

Pada masa sama, Bella juga menganggap kisahnya tidak mendapat tawaran semata-mata kerana berhijab sebagai satu cerita basi.

“Saya pernah mencuba bidang pengacaraan seperti ketika menjadi hos program Seleksi Hijab sebelum ini. Saya sukakannya kerana ia berbeza berbanding apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.

“Saya juga seorang penari yang aktif ketika zaman sekolah, namun ia tidak lagi begitu sesuai untuk diteroka sekarang.

“Cuma, saya tidak teruja untuk mencabar bakat sebagai penyanyi kerana menganggap ramai lagi yang lebih berbakat,” jelasnya.



Mahu lebih bermakna

Sebagai gadis yang mengutamakan keluarga, Bella sebaliknya tidak menganggap kontroversi sebagai medan terbaik untuk mencipta publisiti murahan.

Tidak hairanlah, tunang aktor Nazim Othman, 34, itu seakan-akan berada dalam ruang privasi tersendiri terutamanya tatkala ditebak soal hati dan perasaan.

“Saya mahu menjadikannya lebih bermakna. Andai kisah peribadi diceritakan kepada semua orang, bagi saya ia tidak membawa sebarang erti.

“Jadi, ada baiknya kemanisan sesuatu perhubungan itu sekadar dikongsi sesama pasangan bercinta,” ujarnya.

Tidak pernah memikirkan dirinya sekadar dikenali gara-gara disunting Nazim, sebagai wanita, Bella percaya tidak manis untuk terlalu bercakap berhubung soal perkahwinan.



“Jodoh itu ketentuan Allah, tidak timbul soal sedia ataupun tidak gara-gara faktor usia apabila sudah tiba masanya untuk mendirikan rumah tangga.

“Pendek kata, Allah memberikan petunjuk untuk menjaga dan dijaga insan tersayang sebaik saya menerima lamaran Nazim,” ujarnya yang mengikat tali pertunangan bersama Nazim pada 14 November tahun lepas.

Ditanya bila agaknya tarikh istimewa itu bakal dikongsi bersama umum, Bella menjelaskan ada baiknya soalan itu dijawab Nazim.

Mencari seseorang

Dalam pada itu, Bella mengakui mencari pembantu peribadi bagi menguruskan perjalanan seninya yang kembali rancak terutamanya selepas drama Akulah Balqis sekitar tahun lepas.

“Agak sukar juga apabila bergerak seorang diri, tambahan pula dengan kesibukan menguruskan sesi fotografi dan sesi penggambaran drama.

“Jadi, saya harap dapat bertemu calon yang sesuai dalam masa terdekat,” getusnya.

Selain bakal menjalani penggambaran drama 20 episod berjudul Cinta 11 Syarat selepas ini, rezeki Bella juga semakin bercambah apabila bakal menjadi heroin filem buat julung kalinya dalam naskhah arahan sutradara muda, Syafiq Yusof berjudul Desolasi.


WATAK wanita psiko menjadi idaman Bella meskipun telah berhijab.

“Ini kali pertama saya menjadi heroin filem selepas membawakan watak pembantu dalam kedua-dua filem sebelum ini iaitu Gila-Gila Remaja 2 dan Seru.

“Dalam filem ini, saya membawakan watak Maya iaitu kekasih Syamsul Yusof. Ia bergenrekan sains fiksyen serta banyak babak yang membabitkan imej janaan komputer.

“Selain muncul di alam fantasi, Maya juga wujud di alam realiti,” kongsinya mengenai filem itu.

Bella juga menyifatkan dia sekadar gadis biasa yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah sekiranya tidak bergelar pelakon.

“Ia satu soalan yang bagus. Jika tidak menjadi pelakon, sudah tentu saya seorang pereka fesyen ataupun pereka dalaman ketika ini.

“Saya juga berharap dapat menjalankan bisnes sendiri dalam tempoh 10 tahun lagi jika tidak lagi bergelar pelakon,” ujarnya.

Sisi berbeza Bella Dally

Berkongsi cerita mengenai keperibadiannya yang mungkin tidak diketahui ramai orang, Bella mengakui dia seorang penggemar minuman kopi tegar.

“Jika tidak pekena kopi, hidup saya terasa seolah-olah kosong,” jelasnya yang turut mengakui seorang yang optimis.

Pada masa sama, Bella turut memiliki tabiat suka meregangkan sendi otot ketika stres meskipun menyedari ia bukan tabiat yang bagus.

“Saya juga cukup fobia dengan labah-labah sejak kecil,” katanya yang turut menggemari aktiviti lasak.

Selain itu, Bella juga gemar bangun awal saban hari daripada tidur bagi mengelak sakit kepala.

“Tidak tahu mengapa, kepala berdenyut-denyut dan terasa seolah-olah tidak produktif jika terbangun lewat,” ungkapnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post