Hafreez Adam berhati-hati kongsi isi hati


Hafreez kini lebih berhati-hati berkongsi isi hati dan kisah peribadi selepas pernah dikecam ramai sebelum ini.

Satu demi satu langkah sedang diterokainya. Pernah tersadung dan tercalit lumpur, namun Hafreez Adam bangkit berpaksikan kekuatan jiwa dan doa.

Pelakon berusia 26 tahun ini pernah terhimpit dengan kisah jerawat batu yang menjadi viral serta berkesudahan duka apabila dirinya dikritik ramai.

Pada hari ini, perjalanan hidup dan seninya kembali bersambung dengan penuh warna-warni.

“Sejak isu itu, saya kini lebih berhati-hati dalam memberikan apa-apa kenyataan sekalipun, malah tidak akan lagi berbicara apa-apa soal peribadi,” ujarnya tegas yang turut menolak membicarakan mengenai kisah cintanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu juga langsung tidak terjejas emosinya ketika kini, bahkan begitu teruja bercerita tentang drama terbaharu lakonannya yang berjudul Gantung.

Drama yang bakal ditayangkan di Astro First itu turut membabitkan pelakon Indonesia popular iaitu Randy Pangalila.

Disoal sama ada dia berasa kekok dan sukar mendapatkan keserasian bergandingan dengan pelakon Indonesia itu kerana perbezaan pertuturan, ini jawapan Hafreez.

“Tidak sama sekali, bahkan semuanya berjalan lancar dan tidak sukar untuk kami mendapatkan keserasian ketika di set penggambaran. Sebabnya, kami melalui sesi ice breaking dan latihan seminggu sebelum penggambaran bermula.


Anak muda ini akan muncul menerusi drama tayangan Astro First yang berjudul Gantung bersama dengan pelakon Indonesia iaitu Randy Pangalila.

“Saya rasa seronok berlakon dengannya kerana kami saling belajar bahasa masing-masing,” jelasnya mengenai dramanya bersama Randy yang bergenre seram itu.

Biar ramai yang memuji lakonan Hafreez, namun dia sentiasa merendah diri dan menyatakan keinginannya untuk menerokai lebih banyak peluang dalam bidang lakonan.



“Sejujurnya, masih banyak yang mahu saya terokai dan belajar. Masih jauh lagi perjalanan. Saya sekarang lebih mengejar kepuasan dalam setiap naskhah dan watak yang ditawarkan. Watak yang jauh lebih mencabar dan lain daripada kebiasaan itu menjadi pilihan saya,” ujarnya yang bakal memulakan penggambaran untuk sebuah drama, telemovie raya dan telemovie tribute untuk Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Berkongsi mengenai sinopsis drama Gantung yang kini sedang menjalani penggambaran, kata Hafreez, ia mengisahkan tentang enam orang anak muda yang belajar di sebuah kolej elit.

Empat orang remaja lelaki bersepakat untuk tidak jatuh hati dengan mana-mana gadis dan akan sentiasa mendahulukan persahabatan. Sehinggalah ketua kumpulan mereka, Gibbs (lakonan Randy) yang jatuh cinta dengan ketua pelajar wanita yang baharu iaitu Fara.

Pada masa sama, Deepa (rakan sebilik Fara) yang selama ini menaruh perasaan kepada Gibbs kecewa apabila mengetahui lelaki itu menyukai Fara dan pelbagai perkara pelik mula berlaku di kolej itu.

Deepa dikatakan mengamalkan perbuatan syirik dan pemujaan di kolej tersebut yang selama ini memang terkenal dengan kisah-kisah seram dalam kalangan masyarakat setempat.

Post a Comment

Previous Post Next Post