Fizo (kiri) bersama isterinya, Mawar.
Pihak pengeluar tudung iaitu Fareeda Global Resources Sdn Bhd menyangkal dakwaan kononnya mereka mengupah pihak tertentu untuk mendapatkan visual orang berebut-rebut mendapatkan koleksi terbaharu keluarannya Sweet Love baru-baru ini.
Pengurus Pemasaran Fareeda iaitu Fizo Omar sebaliknya berkata, pihaknya mendapati ejen yang dilantik mengupah individu tertentu untuk mendapat banyak nombor giliran kerana setiap satu nombor hanya melayakkan mereka membeli empat atau lima helai tudung sahaja.
"Langsung tidak timbul isu pihak lami mengupah atau membayar sesiapa pada hari tersebut kerana ia tidak benar.
"Sebaliknya ejen-ejen jualan tudung kami yang membayar individu tertentu untuk beratur mendapatkan nombor lebih daripada satu dan dari situ mereka dapat membeli lebih banyak tudung memandangkan pembelian terhad setiap nombor," katanya kepada mStar Online.
Fizo berkata demikian pada sidang media berhubung isu video peminat yang merusuh bagi mendapatkan nombor giliran untuk membeli koleksi terbaharu tudung Fareeda di butik berkenaan di Bandar Baru Bangi dekat sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Fizo berkata, dia dan isterinya Mawar Karim langsung tidak berniat untuk bersikap riak apabila memuat naik video suasana kekecohan pada hari kejadian di laman sosial miliknya.
Jelas Fizo, dia semata-mata ingin berkongsi kemeriahan dan kejayaannya Fareeda yang telah mencipta fenomena di kalangan peminat.
Fizo dan Mawar dalam sidang media menjelaskan isu rakaman video yang menjadi viral memperlihatkan orang ramai berebut-rebut mendapatkan nombor giliran bagi membeli tudung keluaran Fareeda.
"Sebagai ahli perniagaan saya ingin berkongsi kejayaan kami dan jauh sekali hendak bersikap riak. Tiada niat pun hendak memviralkan perkara itu dan ia berlaku di luar jangkaan," ujarnya.
Menjelaskan keadaan pada hari kejadian, Fizo berkata, pada awalnya situasi terkawal dan pelanggan berada dalam barisan ditetapkan termasuk meletakkan wanita di bahagian hadapan barisan.
Malah kata Fizo, petugas keselamatan iaitu Rela dan kakitangan Fareeda turut ditempatkan bagi mengawal keadaan sebelum pemberian nombor giliran dibuka pada pukul 5 petang.
"Ada diantara mereka telah berkumpul seawal 12 tengah hari dan mula bertindak agresif, tolak menolak dan sebagainya sehingga ia di luar kawalan.
"Pihak keselamatan juga tidak dapat mengawal keadaan dan pelanggan mula bercampur diantara lelaki dan perempuan tanpa menghiraukan peraturan dan syarat ditetapkan.
"Atas sebab itu kami terpaksa mengeluarkan nombor giliran lebih awal iaitu pukul 3 petang memandangkan keadaan semakin tegang," jelasnya.
Tambah Fizo, pihaknya ada menggunakan sistem tempahan menerusi dalam talian namun permintaan tinggi daripada pelanggan dan ejen membuatkan mereka meneruskan sistem konvensional.
"Fareeda ada membangunkan apps, tempahan dalam talian malah penghantaran terus ke rumah namun pelanggan masih mahu mendapatkan sendiri nombor dan tudung di butik.
"Sebagai ahli perniagaan kami perlu memenuhi permintaan tersebut kerana kami sedar ada di antara mereka yang menjadikan jualan tudung Fareeda sebagai punca pendapatan.
"Tambahan pula setiap koleksi dikeluarkan adalah terhad jadi masing-masing ingin mendapatkan apabila ada keluaran terbaharu," ujarnya.
Sementara itu, Fizo berkata, dia terkilan dengan kata-kata negatif dilemparkan terhadap Fareeda di laman sosial sehingga ada sanggup melabelkan pelanggan sebagai lembu.
Jelas Fizo, sebagai ahli perniagaan dia boleh menerima kritikan namun berharap teguran diberikan membina dan positif.
"Saya rasa menggunakan ayat 'lembu' merujuk kepada pelanggan kami adalah tidak sesuai dan ada teguran lebih baik boleh diberikan.
"Kami terbuka dengan sebarang kritikan kerana dari situ kami boleh perbaiki kesilapan pada masa hadapan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Fizo berkata, bagi mengelak kejadian serupa berlaku, pihaknya bercadang untuk memilih lokasi lebih besar seperti stadium bagi memudahkan pelanggan dan ejen pada keluaran seterusnya.
Katanya, pada hari kejadian pihaknya hanya mengeluarkan sebanyak 1,000 nombor giliran sahaja sebaliknya mereka menrima kehadiran kira-kira 2,000 orang.