Penyanyi terkenal Datuk Seri Siti Nurhaliza memilih awal Ramadan ini untuk melahirkan anak kedua.
Siti, 42, berkata, dia memohon doa orang ramai dan peminat semoga proses bersalin itu berjalan lancar.
"Insya-Allah tak lama lagi saya akan bersalin dan berpantang. Doakan semoga proses itu berjalan lancar dalam beberapa hari saja lagi. Namun, saya gigihkan juga untuk selesaikan acara hari ini kerana sudah menjadi tanggungjawab saya untuk berkongsi kepada masyarakat," katanya.
Menurut Siti, majlis pelancaran Wafer Emas Edisi Khas Jubli Siti 25 Tahun bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) yang diadakan hari ini adalah acara terakhir membabitkan dirinya.
Ditanya mengenai persediaan untuk melahirkan anak kedua, Siti berkata, dia berasa gementar.
"Saya percaya semua wanita yang nak bersalin akan merasai perkara sama. Saya tidak terkecuali, jadi doakan semuanya lancar dan dipermudahkan," katanya.
Berkongsi mengenai kerjasama bersama YaPEIM itu, kedua-dua pihak mencipta sejarah dengan memperkenalkan wafer emas 999 satu gram, lima gram dan dinar emas (4.25 gram).
"Keluaran YaPEIM Gold ini adalah langkah untuk menggalakkan masyarakat terutama dalam kalangan peminat saya untuk menjadikan wafer emas ini koleksi peribadi sekali gus mendidik masyarakat untuk menyimpan emas.
"Pihak YaPEIM mensasarkan jualan 30,000 keping bagi varian satu gram, manakala 3,000 keping bagi edisi satu dinar dan 3,000 keping bagi edisi lima gram secara pra tempahan," katanya.