Shima Anuar syukur dapat membantu

TAHUN lalu, menjadi tahun cukup berkah buat pelakon Shima Anuar. Situasi pandemik Covid-19 yang melanda dunia sebaliknya dimanfaatkan untuk membantu ramai individu terkesan.

Shima, 30, yang kebetulan memperlahankan kerjaya seni ketika itu terdetik berbuat sesuatu untuk berkongsi rezeki. Maka, terbitlah idea untuk cuba menghasilkan makanan tradisional terkenal dari Kelantan, laksam.

Segalanya berlaku spontan dan sepantas kilat, tiba-tiba idea itu terus bertukar menjadi perniagaan serius. Tempahan luar biasa diterimanya dari pelosok tempat sehingga terpaksa mengambil ejen penjual di pelbagai lokasi.

Namun, itulah yang paling Shima syukuri sebenarnya. Dia bukan jalankan perniagaan itu demi mengaut keuntungan, sebaliknya lebih kepada membantu golongan terkesan yang perlukan pekerjaan demi kelangsungan hidup.

Menurutnya, era pandemik Covid-19 yang menjadi mimpi ngeri buat ramai orang cuba diubah positif. Apalagi sewaktu Ramadan tahun lalu, rezekinya bertambah dan sumber pendapatan itu dapat dikongsinya dengan orang ramai yang memerlukan di luar sana.

"Tiada Ramadan yang lebih menyentuh hati saya, selain pada tahun lalu. Saya rasa bersyukur, apabila dapat memulakan perniagaan kecil sehingga ia mendapat sambutan luar biasa dan semakin berkembang.

"Siapa sangka, daripada menghantar sendiri tempahan laksam dalam kuantiti sedikit, kini sudah ramai ejen jualan kami. Saya tahu ramai yang terkesan dan perlukan sumber pendapatan selepas terjejas dengan pandemik ini.

"Itulah yang sebenarnya menguatkan lagi impian untuk menjadikan hobi memasak laksam kepada perniagaan serius, sejak tahun lalu. Rasa puas sangat dapat membantu, walau tak ramai pun ejen jualan di luar sana," katanya.

Namun begitu, pelakon drama Cinta Si Wedding Planner itu akui terkilan apabila terpaksa 'melepaskan' perniagaan terbabit pada tahun ini. Bukan menutup, sebaliknya dia meminta bantuan kakaknya untuk meneruskan urusan berniaga itu.

Ia tiada sebab lain, kerana Shima akhirnya kembali merancakkan karier dalam bidang seni selepas lama menyepi bagi memberi fokus kepada keluarga. Ibu kepada dua cahaya mata itu, mengakui sekarang masa tepat untuk dia kembali berlakon.

"Memang agak sedih dan terkilan juga apabila sudah tidak dapat memberikan fokus sepenuhnya kepada perniagaan itu. Mujur dapat bantuan kakak saya yang mengambil alih urusan penghantaran kepada setiap ejen.

"Saya pun kebetulan sudah kena kembali dalam dunia seni selepas lama berehat. Tawaran diterima pun sangat banyak dan memerlukan saya dedikasi masa di set penggambaran pula," katanya.

Menurut Shima, dia sebenarnya ragu-ragu dengan keputusan ingin kembali aktif dalam bidang seni. Apatah lagi, memilih untuk berbuat demikian sewaktu pandemik Covid-19 melanda.

Sebab utama lain, tidak terkecuali kebimbangan terhadap masa diluangkan bersama keluarganya. Dia jelas masih belum terbiasa berenggang dengan dua anaknya.

"Tidak dinafikan, pelbagai kerisauan bersarang sewaktu saya memutuskan untuk kembali berlakon. Dengan perlu mematuhi arahan keselamatan, berada di luar dan kena jaga diri sebaiknya, banyaklah.

"Apapun, saya bersyukur segalanya dipermudahkan setakat ini. Penggambaran okey dan saya berjaya seimbangkan masa keluar bekerja serta memberi perhatian kepada keluarga di rumah," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post