Haliza Misbun kini isteri orang, dapat hantaran sebuah rumah

Pelakon Haliza Misbun, 48, sah bergelar isteri kepada duda anak satu yang juga warga Britain, Matthew John Rodgers, 48, di Masjid Ar Rahah, Kampung Kerinchi, di sini, hari ini.

Pasangan itu dinikahkan Penolong Pendaftar Nikah Cerai Masjid Ar Rahah, Kampung Kerinchi, Ustaz Mohd Lazim Khairudin dan berwalikan adik lelaki Haliza iaitu Othman Misbun.

Majlis pernikahan itu diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang dihadiri 50 tetamu sahaja.

Pada majlis itu, Haliza menerima mas kahwin RM80 dan hantaran berupa sebuah rumah sebagai simbolik membina keluarga baharu. Pihak lelaki memberi tiga dulang hantaran, manakala Haliza membalas dengan lima dulang hantaran.

Haliza berkata, dia bersyukur majlis dirancang berjalan lancar walaupun mengikut SOP.

"Ini perkahwinan pertama saya. Alhamdulilah, selama ini saya tahu ada yang sangsi dan berteka-teki dengan status saya. Ada juga yang menyangka saya sudah berkahwin. Hari ini saya bersyukur segala yang dinantikan saya sudah hampir sempurna. Kehadirannya melengkapi kehidupan ini. Insya-Allah," katanya.

Menurut Haliza, hubungannya dengan suami terjalin sejak hampir empat tahun lalu.

"Dia sudah menetap di Malaysia sejak sembilan tahun lalu. Kami kenal menerusi kawan. Pertemuan di restoran di Damansara Heights ketika keluar bersama kawan yang lain memutik rasa cinta.

"Malah selepas setahun akrab, dia adalah lelaki pertama yang saya berani bawa berjumpa keluarga. Saya berasa yakin dengan kesungguhannya dan kami mula terbuka dalam pelbagai aspek. Pengalaman hidup masing masing mematangkan diri barang kali menjadi faktor keserasian itu mudah diperoleh," katanya.

Sejurus selesai majlis akad nikah, mempelai turut diraikan di sebuah dewan di lokasi sama.

Dalam masa sama, suami Haliza turut membuat strim langsung di Facebook untuk berkongsi detik bahagia itu bersama keluarga rapat di England.

Post a Comment

Previous Post Next Post