PDRM lancar portal MyBayar Saman, tawar diskaun 50% untuk saman terpilih

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini menawarkan diskaun sebanyak 50% untuk saman terpilih, jika bayaran dibuat menerusi portal dan aplikasi MyBayar Saman yang baru dilancarkan. Tawaran diskaun 50% ini diberikan dari 25 Mac sehingga 11 April 2021.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, portal dan aplikasi MyBayar Saman itu memudahkan orang ramai untuk membayar kompaun saman trafik secara dalam talian. Ia juga akan mengurangkan kebergantungan Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) kepada ejen kutipan swasta dan meningkatkan lagi kecekapan sistem perkhidmatan JSPT kepada orang ramai.

Pengguna boleh membayar saman tanpa had masa dan sempadan, selain tiada sebarang caj dikenakan.

Tetapi, tawaran diskaun ini tidak terpakai untuk kesalahan utama trafik seperti melanggar lampu isyarat merah, memandu melebihi had laju ditetapkan, memotong garisan berkembar, menggunakan telefon semasa memandu dan memandu di lorong kecemasan.

Katanya lagi, sistem MyBayar Saman secara dalam talian itu selaras dengan dasar kerajaan iaitu menambah baik literasi digital, menyediakan pilihan pembayaran tanpa tunai menjelang 2022 di semua kementerian dan agensi kerajaan serta penetapan 80% perkhidmatan kerajaan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian.

Kepada rakyat Malaysia yang berminat untuk membayar saman dengan diskaun 50%, boleh melayari portal rasmi MyBayar Saman di https://mybayar.rmp.gov.my atau memuat turun aplikasi di Apple Appstore dan Google Playstore.

Post a Comment

Previous Post Next Post