Pelakon Uqasha Senrose, 29, dan Kamal Adli, 35, merancang untuk mengadakan majlis pernikahan di pusat peranginan tanah tinggi tidak lama lagi.
Mereka yang tidak mendedahkan tarikh sebenar pernikahan bersyukur kerana proses persiapan setakat ini berjalan lancar.
Uqasha berkata, mereka juga merancang untuk mengadakan tiga majlis berasingan untuk keluarga, kenalan, rakan artis dan media kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
"Tarikhnya biarlah kami simpan dulu. Bila semuanya sudah muktamad, kami sendiri akan kongsikannya. Setakat ini, persiapan untuk majlis kami sudah 80 peratus siap dan alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar," katanya kepada Harian Metro.
Kamal pula berharap ketika majlis mereka berlangsung, jumlah kes positif Covid-19 semakin menurun sekali gus membuka peluang kepada tetamu untuk melakukan perjalanan merentas negeri.
"Saya gembira kerana Uqasha perlahan-lahan dapat merealisasikan perkahwinan impiannya mengikut tema yang diimpikan. Tapi, buat masa sekarang, biarlah kami rahsiakan dulu mengenai tema majlis kami," katanya.
Terdahulu, dua pelakon popular ini dikatakan mula rapat selepas bergandingan menerusi drama Setelah Terlafaznya Akad dua tahun lalu. Mereka sekali lagi berpasangan dalam drama Perempuan Tanpa Dosa pada Oktober tahun lalu.
Kamal melamar Uqasha secara langsung pada Anugerah MeleTOP Era 2020, Disember tahun lalu yang disiarkan secara langsung di kaca televisyen.