"Saya tahu ramai sayang dan selalu mendoakan saya. Bila tiba masanya dan semuanya sudah sah, saya akan kongsikan berita gembira itu," kata pelakon, penyanyi dan pengacara popular, Elly Mazlein mengenai desas-desus dikatakan dia kini hamil.
Elly turut memohon doa daripada peminat dan rakan-rakan media berhubung perkara itu.
"Seperti dijanjikan, saya juga akan berlaku adil kepada semua rakan media yang sentiasa menyokong saya," katanya kepada Harian Metro.
Elly berkata, anaknya Putri Sara Sefhia juga kerap bertanya mengenai adik.
"Sefhia memang sudah lama tanya mengenai adik dan peminat pun nak tengok anak bersama suami. Kalau betul-betul ada, saya akan maklumkan. Bukan sebab nak tunggu dah masuk bulan ketiga atau bulan keempat baru nak umum atau apa," katanya.
Spekulasi mengenai kehamilan penyanyi lagu Dusta Cinta itu mula tular selepas ramai yang menulis komen mengenai 'baby bump' atau perubahan bentuk perut Elly ketika muncul dalam video TikTok Suria FM, baru-baru ini.
Elly berkahwin dengan Muhammad Azlan Che Nuh, 31, pada 18 Januari tahun lalu di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
Elly sebelum ini pernah berkahwin dengan pengarah drama Azmi Hatta pada 9 November 2014 sebelum bercerai pada 15 Oktober 2015.
Hasil perkahwinan itu Elly dikurniakan seorang anak perempuan, Putri Sara Sefhia yang kini berusia lima tahun.