Video muzik Haqiem Rusli Mimpi catat tontonan lapan juta

Penyanyi popular, Haqiem Rusli, 23, sekali lagi mencatat sejarah apabila video muzik single terbaharu berjudul Mimpi mencatat hampir lapan juta tonton dalam laman YouTube dalam tempoh sebulan.

Single Mimpi juga adalah lagu runut bunyi untuk drama Bidadari Salju lakonan Sweet Qismina dan Adam Lee yang disiarkan menerusi slot Akasia, TV3, baru-baru ini.

Haqiem berkata, dia terharu bukan sahaja mencatat tontonan membanggakan dalam YouTube, malah single Mimpi juga menduduki tangga nombor satu di beberapa platform penstriman muzik.

"Secara jujurnya, saya tidak menjangkakan sambutan hebat. Ini kerana sudah lama lagu saya betul-betul tular di aplikasi Joox, Spotify, RIM Chart dan YouTube, semuanya mencatat nombor satu.

"Alhamdulillah, untuk tontonan video muzik sahaja hampir lapan juta dalam masa sebulan. Bagi saya, ia sambutan yang luar biasa.

"Terima kasih kepada pendengar yang tidak putus memberikan sokongan pada setiap karya yang saya keluarkan," katanya.

Melihat cabaran yang perlu dilalui untuk menghasilkan single Mimpi, Haqiem berkata lagu ciptaannya bersama Datuk A Aida itu mampu mencipta tuah buatnya.

"Single Mimpi ini mencabar keupayaan vokal saya. Ia antara lagu yang paling susah yang pernah dihasilkan.

"Karya ini memerlukan teknik pernafasan baik kerana ia mempunyai 'low note', 'middle', 'vibrato' dan 'high note'. Jadi, ia tidak mudah untuk dipersembahkan secara langsung.

"Bagaimanapun, saya mengambil risiko dan seronok mencabar diri untuk tidak berada dalam zon selesa. Saya sudah cuba memberikan yang terbaik dengan menjaga pemakanan dan bersenam bagi memantapkan suara," katanya.

Mengulas perkembangan kesihatannya, Haqiem berkata, dia dalam keadaan baik-baik sahaja selepas disahkan negatif COVID-19.

"Saya sihat, cuma ada penyakit resdung. Keluarga juga sihat, bapa saya dalam keadaan yang baik.

"Kami anak beranak memang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat untuk mengelakkan dari perkara tidak diingini," katanya.

Terdahulu, Haqiem melakukan ujian saringan COVID-19 selepas dipercayai menjadi kontak rapat kepada seorang individu yang disahkan positif virus berkenaan.

Post a Comment

Previous Post Next Post