Pelakon Azrel Ismail, 37, mengakui dia masih menjalin hubumgan baik dengan pelakon Ruhainies dan tidak pernah sesekali bermasam muka kerana mereka kekal bersahabat.
Menurut Azrel, tidak ada sebab untuk dia marah atau putus sahabat dengan Ruhainies berikutan gosip cinta yang pernah mengaitkan mereka dahulu.
"Saya dan Ruhainies, kami masih bersahabat baik. Lagi pun, kisah dahulu itu hanya gosip sahaja. Jadi, buat apalah sampai nak simpan dalam hati hingga putus sahabat kerana itu.
"Bagi saya, kena profesional dan matang. Ditambah, industri hiburan di Malaysia ini pun tidaklah besar dan rugi kalau kita bergaduh atau bermasam muka. Untuk saya, kami tidak pernah bermasalah," katanya kepada Harian Metro.
Menurut Azrel, selain Ruhainies, dia juga berkawan baik dengan kakak pelakon itu, Nur Risteena termasuk mengenali keluarga mereka. Katanya, dia juga lebih selesa mengekal hubungan baik dengan semua orang.
"Saya sukakan persekitaran kehidupan yang positif. Justeru, saya akan pastikan sentiasa berkomukasi sebaik mungkin dengan semua orang. Saya memang elak mencari musuh.
"Malah, saya juga tiada masalah untuk bekerjasama lagi dengan Ruhainies dalam drama. Sekiranya, watak sesuai dan jalan cerita pun okay, saya terima. Bagi saya, setiap tawaran berlakon itu adalah rezeki," katanya.
Azrel yang lali dengan gosip percintaan berkata ia lumrah bagi insan seni sepertinya. Apa pun, hingga kini dia masih solo dan belum bertemu calon kekasih lagi. Katanya, pada ketika Covid-19 ini ramai orang terjejas pendapatan.
"Ekonomi saya belum cukup kukuh dan stabil. Jika nak berumah tangga, saya perlu pastikan sudah ada aset yang cukup buat keluarga. Tanggungjawab sebagai ketua keluarga agak besar.
"Buat masa ini, saya masih lagi perlu berusaha untuk kukuhkan ekonomi sendiri. Saya mahu fokus dahulu pada kerjaya kerana urusan jodoh ini ketentuan Allah. Dah sampai masa, pasti ada," katanya.
Mengenai kerjaya lakonanannya, Azrel kini muncul dengan drama Melastik Ke Hatimu di TV3. Selain itu, dia juga membintang drama Halim Halimah termasuk satu filem berjudul Biko.