Rasyad Nadzri serlah dimensi berbeza

PENYANYI baharu yang kian mendapat perhatian berikutan rancak memanfaatkan Instagram untuk berkongsi bakat nyanyiannya, Rasyad Nadzri, 23, kini tampil dengan lagu baharu berjudul Dejavu.

Lagu yang cukup kuat melodinya itu mendapat sentuhan komposer handalan Omar K, Mas Dewangga dan Firdaus Rahmat.

Istimewanya, lagu ini memberikan dimensi berbeza dalam corak nyanyian Rasyad.

Sebagai pencinta karya balada, Dejavu sebaliknya dihasilkan dengan genre rancak, sekali gus memberi angin baharu buat penyanyi ini sendiri bagi menyerlahkan lagi bakat serba bolehnya.

Demikian juga liriknya yang jelas membawa perspektif menarik apabila bercerita mengenai kekeliruan atau konflik dalam diri seseorang.

Dalam kehidupan, manusia sering diuji dengan perasaan yang sukar dikikis sehingga membelenggu dirinya setiap masa.

"Kalau mengikut definisi dan visi, lagu ini bercerita mengenai seseorang yang masih terperangkap dalam dunianya sendiri. Hal itu disebabkan dia masih tidak boleh menerima kenyataan dan terfikir mengenai orang tertentu. Bayangan individu itu masih bermain di mindanya selain rasa bersalah menebal memikirkan kesilapan yang dilakukan," katanya.

Bercerita mengenai keputusannya keluar dari zon selesa, Rasyad mengakui hal itu sebenarnya tidak dijangka. Apatah lagi, dia sendiri sudah terlalu biasa dan lebih menjiwai karya berentak balada.

Rupa-rupanya Dejavu adalah sebuah lagu yang disuntik dengan rentak lebih rancak. Dia akui, dia jatuh cinta serta-merta dengan melodinya.

"Proses rakaman lagu ini agak unik kerana pada awalnya, saya ingat akan diberikan lagu balada memandangkan genre nyanyian saya memang itu, tetapi kami kemudian mencuba melodi sedikit rancak dan tidak sangka bunyi serta auranya lebih sedap. Secara kasar, ia siap dalam tempoh tiga bulan termasuk proses adunan dan 'mastering'," katanya.

Namun, Rasyad berdepan cabaran tersendiri sebagai pendatang baharu terjun ke rakaman profesional dengan pendekatan arus perdana.

Menurutnya, paling sukar adalah untuk menyalurkan perasaan yang tepat selain memberikan jiwanya dalam lagu itu. Namun, dia bersyukur dapat mempelajari perkara baharu sepanjang proses itu.

"Paling sukar untuk saya adalah untuk menangani rasa gementar dan takut. Ini kerana saya berasa sangat susah untuk menjiwai sesebuah lagu itu ketika rakaman dan memberikan segalanya dalam diri. Perihal memilih jenis aura yang tepat untuk menggambarkan diri saya juga agak mengelirukan apatah lagi saya masih terlalu mentah dalam industri," katanya.

Apapun, Rasyad berjaya mengatasi kekeliruan itu dengan menjadi diri sendiri.

Baginya sebagai anak seni dia perlu terus belajar mencari kekuatan sedia ada dalam dirinya dan memanfaatkan sebaiknya termasuk untuk nyanyiannya.

Begitu juga keterbukaan untuk menyerlahkan sisi berbeza, sama pentingnya.

"Saya puas hati sangat dengan lagu Dejavu ini. Saya yakin dan bangga untuk mengakui ini adalah lagu yang berjaya menggambarkan diri sebenar saya. Saya percaya, kita semua ada sisi berbeza yang tidak perlu risau untuk dipamerkan kepada orang lain. Contohnya yang ceria, serius dan mood kurang baik," katanya.

Berbekalkan raut wajah manis, bakat nyanyian Rasyad terbukti diterima baik di media sosial.

Dia memiliki lebih 16,000 pengikut di Instagram dan menggunakannya untuk memperkenalkan bakat nyanyiannya, dikenali dengan lagu nyanyian semula baik karya tempatan mahupun antarabangsa dan pernah melancarkan lagu berjudul Terlanjur Jatuh Cinta.

Post a Comment

Previous Post Next Post