Pasangan selebriti, Intan Ladyana, 39, dan Harris Alif, 22, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), di sini, jam 10 pagi, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Penolong Pengarah Jawi, Ustaz Muhammad Azlan Marukum selaku jurunikah. Hadir sama, Pendaftar Nikah, Cerai, Rujuk Orang Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ustaz Nasir Abdullah.
Pada majlis itu, Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi menyerahkan mas kahwin berupa set perhiasan barang kemas dan sebentuk cincin berlian berserta tujuh dulang hantaran, manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang. Namun, ia tidak dibawa bersama sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Selepas majlis itu, pasangan kedua mempelai meluangkan waktu bersama pihak media menerusi sesi temu bual secara dalam talian.
Harris yang juga pelakon dan pengacara berkata, majlis diawalkan sehari dari tarikh asal iaitu 6 Februari atas persetujuan kedua belah pihak dan Jawi.
"Alhamdulillah, syukur majlis sudah selesai. Paling penting adalah nikah. Ia diawalkan sehari disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kebetulan pihak Jawi juga setuju dengan tarikh hari ini, jadi kami putuskan untuk buat hari ini.
"Majlis hari ini memang berlangsung mengikut SOP ditetapkan. Kami sama saja seperti orang lain. Cuma, hari ini pihak Jawi membenarkan kami hadir bersama tujuh orang lagi daripada kedua belah pihak," katanya.
Berkongsi mengenai perasaannya selepas sah bernikah, Harris berkata, bermula sudah tanggungjawab barunya sebagai suami.
"Sebelum akad nikah, rasa seperti tidak ada apa-apa. Apabila duduk di kerusi, ketika nak lafaz baru terasa gementar. Tapi, selepas selesai memang terus lega. Dalam masa sama, terus ada satu perasaan yang mana bermula sudah tanggungjawab baru sebagai ketua keluarga.
"Selepas ini saya sudah hidup berdua. Ini adalah langkah baru untuk ke alam perkahwinan dan sebagai suami," katanya.
Sementara itu, Intan atau nama sebenarnya Intan Nurladyana Mohamat Yahaya tidak menjangka majlis pernikahan mereka berlangsung dalam keadaan cepat.
"Disebabkan keadaan semasa yang tidak menentu, agak susah nak buat perancangan. Jadi, jalan terbaik adalah dahulukan majlis nikah kerana ini yang penting.
"Apabila jurunikah sebut sudah sah, saya terus terasa seperti, sudah selesai kah? Cepat betul rasanya. Selama ini saya berfikir ia ambil masa yang lama. Alhamdulillah, ia lancar dan dipermudahkan," katanya.
Mengenai perancangan tiga majlis resepsi, Intan berkata, semua itu bergantung kepada SOP ditetapkan.
"Buat masa sekarang semuanya kena tangguh dulu. Nak letak tarikh pada kad jemputan pun masih teragak-agak. Apa pun tunggu semuanya reda dulu. Insya-Allah kalau ada rezeki," katanya.
Mengikut perancangan awal, pasangan ini turut mendapat tajaan lebih RM13.5 juta untuk beberapa majlis yang sepatutnya dilangsungkan termasuk malam berinai, majlis pernikahan, resepi dan majlis bertandang.
Terdahulu, Harris mendedahkan merisik Intan pada Julai tahun lalu selepas bercinta pada Mac tahun sama.