Walaupun hamil tujuh bulan, pengacara dan pelakon, Ain Edruce, 30, tetap menjaga pemakanan hariannya bagi memastikan bentuk badan kelihatan menarik.
Ain berkata, walaupun kebanyakan orang berpendapat ketika hamil boleh makan apa sahaja diinginkan, namun tetap harus dikawal supaya badan tidak kelihatan kembang.
"Saya sangat menjaga pemakanan ketika mengandung atas saranan doktor. Lagipun ketika hamil ini saya tidak boleh aktif bersenam dan hanya melakukan senaman ringan saja.
"Untuk menjaga badan kekal sihat ketika hamil, saya kurang mengambil nasi tapi setiap malam, akan minum susu almond dengan bijirin sihat untuk bayi dan kandungan," katanya kepada Harian Metro.
Terdahulu, Ain yang memuat naik beberapa foto di Instagram mendapat pujian rakan, kenalan dan pengikutnya yang mengatakan penampilan pengacara Immortal Songs itu masih kelihatan menarik walaupun kini berbadan dua.
Malah, Ain juga mengenakan kasut tumit tinggi yang melengkapkan penampilannya nampak sempurna. Namun, kasut tumit tinggi itu dipakainya untuk sekadar bergambar sahaja.
"Sejak hamil, sebenarnya tak pakai langsung kasut tumit tinggi. Walaupun sibuk dengan kerja mengacara, saya hanya memakai kasut biasa yang memudahkan pergerakan dalam studio.
"Ini pengalaman pertama saya hamil, jadi setiap apa yang nak dilakukan itu memang mengikut saranan dan nasihat doktor. Ia penting bagi kesihatan ibu dan bayi dalam kandungan," katanya.
Ain mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihannya, Amirul Hafiz Mustaffa pada 13 Disember 2019 selepas bertunang selama enam bulan.