Boy Iman didenda RM5,000

Pelakon dan penerbit, Boy Iman serta syarikat DBI Properties Sdn Bhd miliknya didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini, kerana gagal mematuhi perintah Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) berjumlah RM12,000 tiga tahun lalu.

Majistret Shah Wira Abdul Halim menjatuhkan hukuman itu terhadap Boy Iman atau nama sebenarnya Noruliman A Rahman, 41, selaku Orang Kena Saman (OKS) dan wakil syarikat selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan itu.

Terdahulu, Boy Iman dan syarikatnya, masing-masing dikenakan denda RM3,000 dan RM2,000 selepas gagal mematuhi perintah TTPM bertarikh 28 Februari 2017 yang memerintahkan OKS dan syarikatnya membayar RM12,000 kepada Hanis Mohd Samah, 58, selepas 14 hari dari tarikh perintah diserahkan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat TTPM di Persiaran Perdana Presint 2, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya, di sini pada 5 Oktober 2017.

Pendakwaan terhadapnya dibuat Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda.

Terdahulu, Boy Iman dalam rayuannya menerusi peguam Mohd Asmawi Mohd Yusof memohon dikenakan denda minimum dengan alasan sudah membayar separuh daripada jumlah itu.

"Sebelum ini, OKS sudah membayar RM6,000, manakala bakinya akan dibayar oleh rakan kongsi syarikat itu namun pembayaran gagal dibuat.

"Dalam perbincangan, OKS dan rakan kongsinya itu berjanji untuk membayar separuh-separuh selain sudah diisytiharkan muflis," katanya.

Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Khatijah Abdul Rajah, membantah rayuan itu dan memohon hukuman setimpal terhadap OKS dengan mengambil kira jumlah kerugian yang dialami pengadu dalam kes ini.

"Selain itu pengakuan salah bukan faktor untuk mahkamah meringankan hukuman apatah lagi dalam kes ini OKS menunjukkan sikap tidak serius selain tidak gentar dengan undang-undang.

"Tambahan pula, OKS adalah seorang selebriti," katanya.

OKS yang ditangkap semalam bagaimanapun membayar denda itu.

Pada 21 Mac 2017, OKS yang juga antara seorang pengarah syarikat DBI Properties menerima salinan perintah melalui serahan tangan oleh pasukan penguat kuasa bagaimanapun selepas tiga tahun, perintah itu masih gagal dipatuhi.

Pada 10 Oktober tahun lalu, Mahkamah Majistret Putrajaya mengeluarkan waran tangkap terhadap Boy Iman selepas gagal hadir pada sebutan kali pertama kes itu dan menetapkan hari ini untuk sebutan kedua.

Post a Comment

Previous Post Next Post