Aliff Alli kritikal akibat Covid-19 di Indonesia

Pelakon kelahiran Malaysia yang mencipta nama di Indonesia, Aliff Alli, 29, dilaporkan berada dalam keadaan kritikal akibat dijangkiti Covid-19 sejak Disember, tahun lalu.

Aliff yang juga adik kepada pelakon Miller Khan itu menjalani rawatan intensif di Rumah Sakit Wisma Atlet, di sini, hampir tiga minggu lalu dan keadaan kesihatannya dikatakan semakin kritikal.

Peguamnya, Asgar Sjarfi dalam satu kenyataan berkata, keadaan anak guamnya itu tidak menunjukkan perubahan sejak dirawat Disember lalu.

"Masih kritikal. Biasanya 14 hari akan pulih, tapi ini sudah hampir tiga minggu dan keadaan kesihatannya dimaklumkan semakin buruk dan kritikal," katanya kepada media tempatan di Pengadilan Agama Jakarta Pusat, baru-baru ini.

Asgar berkata, keadaan penyakit Aliff yang makin serius itu mungkin berpunca daripada tekanan dihadapinya membabitkan masalah pergolakan rumah tangga serta kes perceraian dengan isteri, Aska Ongi.

"Proses perbicaraan cerai Aliff dan Aska masih lagi berlangsung. Namun, hampir tiga minggu dia dirawat dan keadaannya ketika ini dilapor kritikal. Masalah rumah tangganya itu pasti membuatkan Aliff kecewa, sedih dan tertekan.

"Beberapa kali kami sudah dipanggil pihak berkuasa berikutan laporan-laporan yang dibuat Aska mengenai dirinya (Aliff) hingga menyebabkan fikiran dia terganggu hingga tekanan itu melemahkannya.

"Saya dimaklumkan Alliff kini harus menggunakan alat bantuan pernafasan kerana keadaannya makin kritikal. Selain itu, dia juga dijadual akan dipindahkan ke hospital lain berikutan kekurangan peralatan perubatan," katanya.

Menurut Asgar, pihaknya perlu segera mencari hospital lain untuk memindahkan Aliff dan sekali gus anak guamnya itu akan mendapat rawatan lebih baik serta kembali pulih.

Terdahulu, sepanjang membina kerjaya seni di Indonesia, Aliff pernah membintangi filem Heart 2 Heart selain sinetron seperti Kau Yang Berasal Dari Bintang serta Aisyah Putri The Series: Jilbab In Love.

Aliff berkahwin dengan Aska pada 19 Disember 2018 di Bali, namun perkahwinan itu bertahan selama 11 bulan dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Alyssa Ismillah Khan.

Sebelum menikahi Aska, Aliff juga pernah mendirikan rumah tangga dengan model dikenali Nora Alexandra pada 2016 dan rumah tangga mereka hanya bertahan selama setahun.

Post a Comment

Previous Post Next Post