Asyraf Dasley Percaya keunikan satu kelebihan

"PERCAYA kepada keunikan diri yang dimiliki dan jangan melihat ia sebagai sesuatu kekurangan untuk berjaya," ujar pemenang tempat ketiga Face of Asia, Asyraf Dasley.

Pelajar di peringkat Ijazah Doktor Falsafah Keusahawanan, Teknologi Reka Bentuk dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) itu mengakui bukan mudah untuk berada di kedudukan tiga teratas di peringkat Asia.

Ia kerana, pertandingan itu mencari bakat peragawan dari 28 negara di seluruh Asia dan bertanding melangkaui sempadan jantina.

Namun, anak kelahiran Kedah itu berasa puas apabila dapat memecahkan rekod industri peragawan lelaki tempatan kerana buat kali pertama Malaysia berjaya menembusi tangga ketiga teratas dalam pertandingan tahunan itu, meskipun tidak dimahkotakan sebagai juara.

"Terlalu banyak cabaran yang perlu ditempuhi sepanjang menyertai pertandingan ini kerana peserta dinilai secara maya.

"Ini kerana, peserta yang mewakili negara masing-masing tidak dapat diterbangkan ke negara penganjur iaitu di Korea seperti sebelum ini akibat Covid-19," katanya.

Jelasnya, memandangkan ketika pertandingan itu berlangsung, Malaysia dalam proses Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), dia melalui pelbagai cabaran antaranya perlu kreatif dalam menghasilkan video dan sesi fotografi yang bukan dikendalikan pemain industri yang pakar dalam bidang peragawan.

"Sebelum ini, jika di dalam sesi fotografi atau videografi, kita sebagai model akan hanya perlu memberikan gaya terbaik.

"Bagaimanapun, disebabkan PKPB dan pergerakan agak terbatas, saya perlu menggunakan khidmat individu yang tidak pernah terbabit dalam sesi fotografi dan video dalam bidang model. Jadi, bagi memastikan kualiti visual itu terbaik, saya sendiri perlu memahami secara

teknikal mengambil gambar dan video. Namun, bersyukur ia berjalan dengan baik," katanya.

Lebih mencabar katanya di peringkat suku akhir, dia diserang demam denggi dan sukar untuk menyiapkan tugasan yang diberikan.

Asyraf berkata, pertandingan itu tidak seperti mencari pertandingan Mister Universe yang perlu bertanding keunikan diri sesama jantina tetapi Face Of Asia mencari wajah unik dan komersial peragawan dari rantau Asia tanpa mengira jantina.

Jelasnya lagi, dalam norma baharu pertandingan antarabangsa itu, setiap peserta turut dinilai dari segi kreativiti menghasilkan video dan visual untuk menarik perhatian juri.

"Face Of Asia mengenengahkan 77 model dari seluruh Asia yang perlu melalui pelbagai peringkat atau dikenali sebagai survivor dan syukur saya dapat ke peringkat akhir.

"Antara tugasan yang diberikan adalah kemampuan memberikan gaya terbaik di menerusi foto, visual di dalam video dan keunikan bakat," katanya yang pernah menyertai Mister United di Filipina pada 2016.

Asyraf berkata, dalam pertandingan itu ketika di pertandingan beradu bakat, dia mempersembahkan keunikan silat dan tarian tradisional dari Malaysia.

Jelasnya lagi, dia berminat menyertai pertandingan peragawan kerana terdapat adik-beradik dan sepupunya yang terbabit di dalam bidang berkenaan.

"Namun, saya tidak tergesa-gesa untuk masuk ke bidang ini kerana memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu sehingga ke peringkat sarjana.

"Selepas melihat keputusan yang memuaskan di peringkat Sarjana Teknologi Reka Bentuk dari UiTM, baru saya menceburinya secara serius," katanya meraih nilai gred kumulatif terkumpul (CGPA), 3.95 ketika berada di peringkat ijazah sarjana.

Asyraf berkata, dia melihat sebagai seorang peragawan tidak seharusnya hanya bijak memberikan gaya terbaik di hadapan mata lensa kerana bentuk fizikal dan wajah yang unik tetapi perlu seiring dengan ilmu pengetahuan terutama dalam bidang pendidikan formal.

"Perkara ini penting bagi memastikan kita tidak sekadar tampak menarik di hadapan kamera tetapi turut disegani kerana mempunyai taraf pendidikan yang tinggi," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post