Datuk Jamal Abdillah melahirkan rasa bersyukur di atas kelahiran cahaya mata ke-4 di sebuah hospital swasta di Ipoh petang tadi.
Lagenda pop negara yang berusia 61 tahun ini turut meraikan kegembiraannya apabila permata hatinya dilahirkan pada tarikh istimewa hari ini iaitu 11.11.2020.
“Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika ini. Menerima anak pada usia sebegini adalah rahmat yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Saya dan isteri menerima kelahiran ini dengan penuh rasa syukur,” kata Jamal.
Menurut Jamal, bayi yang diberi nama El Issac Yamani itu dilahirkan sihat dan sempurna dan diberi nama timangan Zack iaitu nama karakter Jamal dalam filem Azura yang pernah memasyhurkan namanya sekitar tahun 1980-an.
“Zack adalah pelengkap kebahagiaan saya dan isteri, Datin Zai Izzati serta tiga anaknya yang lain,” ujar seniman ini lagi.
Menurut Jamal, jika mengikut kiraan tarikh yang dibuat oleh doktor sebelum ini, isterinya dijangka melahirkan anak mereka pada 17 November ini. Namun, pasangan ini sepakat memilih untuk melakukan pembedahan pada hari ini kerana tarikhnya sangat istimewa.
“Kami ambil tarikh 11.11.2020 kerana mudah nak ingat tarikh lahir Zack nanti. Dulu, kakaknya Nur Azura Yamani lahir pada 10.10.2019, tapi ketika itu hanya kebetulan sahaja,” katanya.
Menurut Jamal lagi, selepas isterinya bersalin, mereka akan tinggal di Ipoh sehinggalah projek ikan hiasan arowananya di Bukit Merah selesai.
Jamal dan Zai Izzati, 25, melangsungkan pernikahan pada 1 April 2017. Jamal memiliki dua anak hasil perkahwinan terdahulu iaitu Osama Yamani, 18 dan Ahmad Zaki Yamani, 13. Manakala Nur Azura merupakan anak perempuan tunggal beliau.