Sarah Hildebrand buka tudung





Pelakon yang melonjak populariti menerusi drama Pujaan Hati Kanda, Sarah Hildebrand mengejutkan ramai apabila membuat keputusan membuka tudung.

Sarah memuat naik sekeping foto tidak berhijab bersama suami, Otto Gillen menerusi laman Instagram (IG), semalam.

Menerusi entri berkenaan, pelakon berusia 30 tahun hanya meletakkan emoji 'love' berwarna hitam tanpa kapsyen, selain mengungkap nama akaun IG suaminya.

Sarah atau nama sebenarnya, Nur Sarah Marie Hildebrand Asyraf Hildebrand mula mengenakan hijab sejak September 2015.

Awalnya, ramai menjangka tindakan Sarah hanya memuatkan foto lama. Bagaimanapun, selepas diteliti menerusi IG Story miliknya, Sarah tidak lagi memakai tudung.

Ketika dihubungi, Sarah mengesahkan tidak lagi berhijab.

"Terima kasih kepada netizen yang tidak pantas menghukum dan menyokong apa yang dilakukan.

"Ada sebab kenapa saya membuat keputusan ini. Kita tak tahu apa yang dilalui setiap manusia termasuk saya sendiri," katanya.

Sarah turut memuat naik status menerusi IG Story dengan mempersoalkan sikap sesetengah manusia yang dilihat warak, tetapi pantas menyebarkan kebencian dan tidak bertimbang rasa.

"Status ini hanya bersifat persoalan. Saya tak mahukan jawapan pun atas persoalan ini. Ia lebih kepada sudah terang lagi bersuluh. Saya biarkan kalian berfikir mengenainya," katanya.

Sementara Otto menerusi perkongsian menerusi IG Story turut memuat naik gambar sama mengatakan, dia menyokong keputusan isterinya.

"Saya menyokong sepenuhnya keputusan peribadi isteri. Ini adalah satu-satunya respon saya. Jangan mesej saya," tulis Otto.

Sarah dan Otto mendirikan rumah tangga pada November 2019. Bagaimanapun, mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Post a Comment

Previous Post Next Post