Kali kedua menembusi pencalonan Anugerah Bintang Popular (ABPBH), bakat baharu, Luqman Faiz mengaku masih tertekan melihat namanya bersaing bersama teman lain pada edisi ke-33 ini.
Penyanyi yang meraih populariti melalui single pertama, Kepuraanmu disusuli Takhta Cinta, tahun lalu, mara dalam tiga kategori iaitu Artis Baharu Lelaki Popular dan Penyanyi Lelaki Popular Xiaomi Malaysia serta kategori online, Lagu Paling Boom Popular.
"Saya bersyukur dan teruja dapat bersaing lagi dengan artis berpengalaman dan popular pada ABPBH 33. Biarpun pencalonan awal, saya anggap ia suatu penghormatan.
"Soal tekanan dalam usaha hendak menang itu sentiasa ada dalam pertandingan seumpama ini.
"Kita tidak tahu... Ada rezeki, insya-Allah. Jika sebaliknya, tidak mengapa. Apa yang penting peminat dan kelab peminat, Luqmanatics sudah berusaha sebaik mungkin," katanya.
Luqman yang bernaung di bawah syarikat rakaman Aries Music berkata, kelab peminatnya tidak ada strategi spesifik dalam meneruskan gerak-gempur mengundi.
"Cuma saya dan peminat sentiasa berkomunikasi dalam media sosial. Saya hargai usaha dan penat lelah mereka yang tidak jemu menyokong dan mengundi," katanya.
Luqman atau nama sebenar, Luqman Abd Halim Faiz juga mengaku dia sepatutnya muncul dengan single ketiga, tahun ini.
"Sepatutnya, saya sudah lancarkan single berentak reggaeton berjudul Loco Loco Mac lalu serentak dengan ulang tahun kelahiran yang ke-20.
"Tetapi kita diuji dengan pandemik COVID-19 dan apa yang dirancang tergendala dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Mac lalu.
"Insya-Allah jika tiada aral melintang, mungkin single ketiga akan muncul selewat-lewatnya akhir tahun ini.
"Lagu itu saya tulis sendiri dengan Ibnu Rinkarnae. Karya ini berentak balada yang menjadi genre disukai peminat," katanya.
Sementara itu, ditanya punca mewujudkan satu lagi akaun Instagram di bawah nama @luqmanfaiz03, katanya, dia ada sebab berbuat demikian tetapi tidak boleh mendedahkan kenapa akaun itu dibuka.