Azzam Sham juara Big Stage musim ketiga, bawa pulang RM100,000





“Pertama sekali saya ingin ucapkan terima kasih kepada Allah. Bakat yang saya ada adalah daripada Allah maha berkuasa. Terima kasih kepada ibubapa, datuk dan nenek saya. Terima kasih kepada semua peminat yang mengundi saya,”

Itulah kata-kata yang diucapkan Azzam sebaik sahaja diumumkan sebagai juara Big Stage 2020 yang membolehkan dia membawa pulang RM100,000 beserta trofi.

Azzam Sham muncul sebagai juara Big Stage 2020 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad lalu.

Mempertaruhkan lagu Aku Bidadari Syurgamu nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza dan lagu Grenade nyanyian Bruno Mars. Azzam menerima markah daripada juri dan undian penonton secara dalam talian sebanyak 67.85 peratus.

Naib juara disandang oleh Usop dengan markah sebanyak 66.57 peratus dan membawa pulang RM50,000 beserta trofi. Manakala tempat ketiga dimenangi oleh Qody Rany dengan markah 61.85 peratus, membawa pulang RM20,000 beserta trofi.

Manakala tempat keempat dan kelima menjadi milik Dinie Rashid dengan markah 60.04 dan Fadh Majid 58.80.

Kesemua peserta diadili oleh tiga juri tetap iaitu Ajai, Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir serta juri undangan Misha Omar dan Elly Mazlein sebagai presiden netizen.

Keputusan pemenang ditentukan oleh 70 peratus daripada penilaian juri profesional dan 30 peratus lagi ditentukan oleh undian penonton secara dalam talian.

Big Stage musim pertama menyaksikan penyanyi Sarah Suhairi menjadi juara manakala musim kedua pula menjadi milik penyanyi asal dari Korea iaitu Han Byul.

Big Stage 2020 disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria (104) dan Ria HD (123) dan dihoskan oleh Alif Satar dan Sherry Al Hadad.

Post a Comment

Previous Post Next Post