Nazrief Nazri Bukan tak laku





Soal tidak laku bukan menjadi penyebab pelakon bertubuh sasa, Nazrief Nazri, 29, beralih ke perundingan kewangan, sebaliknya demi masa depan yang terjamin, apatah lagi kini sudah berumah tangga.

Minat dalam lakonan masih membara, namun pelakon drama Makmum Yang Paling Aku Cinta dan Leftenan Zana itu memerlukan pendapatan yang lebih stabil selepas mendirikan rumah tangga dengan model, Aizatul Aqma Hamdan pada November, tahun lalu.

Kelibatnya kurang menghiasi kaca televisyen, malah seperti ada dalam tiada. Ia berikutan Nazrief terpaksa memperlahankan kerjaya lakonan buat sementara waktu.

Namun, jauh di sudut hati, Nazrief atau nama sebenarnya, Mohamad Nazrief Mohamad Nazri belum mahu meninggalkan dunia lakonan, biarpun namanya belum cukup besar dan populariti tidak memuncak.

"Saya masih berlakon, cuma lebih fokus sebagai perunding takaful dan perunding pewarisan harta pusaka.

"Saya kini bekerja sebagai perunding kewangan secara sepenuh masa dan perlu masuk pejabat, jadi saya kurang berlakon.

"Sebenarnya, saya berjinak dalam bidang perunding sejak dua tahun lalu, tetapi semakin serius fokus ke arah bidang ini selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu," katanya.

Nazrief berkata, dia belum berhenti berlakon, malah masih menerima undangan lakonan yang tidak mengambil masa yang lama di lokasi penggambaran.

Bagaimanapun, katanya, dia terpaksa menolak sekiranya minta menjayakan watak utama kerana tidak mampu memberikan komitmen sepenuhnya.

"Alhamdulillah, tawaran lakonan sentiasa ada, malah tidak pernah berkurangan. Lebih membuatkan terharu, semakin banyak tawaran watak utama dan pembantu diterima. Malangnya, kebanyakan terpaksa ditolak.

"Saya bukan tidak laku atau tiada tawaran lakonan diterima, tetapi saya beralih perundingan kewangan demi masa depan lebih terjamin. Saya tahu, mungkin saya masih ada kerja untuk tempoh beberapa tahun lagi, tetapi apabila sudah tidak laku, saya nak makan apa?

"Kerjaya sebagai pelakon belum tentu terjamin. Bukanlah tiada jaminan langsung, tetapi saya harus ada perancangan pada masa depan. Apabila usia sudah menginjak tua, saya tidak mahu terlambat untuk melakukan sesuatu yang baru," katanya.

Katanya, dia sedar ada rakan mengambil masa enam tahun untuk popular. Tetapi tuahnya pula tidak sampai-sampai lagi.

"Tak mungkin saya nak tunggu 10 hingga 15 tahun lagi? Macam mana nasib saya jika tiada rezeki nak popular?

"Sekurang-kurangnya jika cita-cita nak melangkah lebih jauh tidak tercapai, saya sudah ada kerjaya lain untuk masa depan. Bagaimanapun, saya tidak akan meninggalkan dunia lakonan selagi diterima," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post