Faezah Elai Tak mudah bergelar ibu tiri





Bergelar ibu tiri bukan satu tanggungjawab yang mudah, silap percaturan boleh dipersalahkan dan dilemparkan pelbagai tuduhan.

Pelakon, Faezah Elai yang menjaga tiga anak tiri seperti darah dagingnya sendiri berkata, status sebagai ibu tiri mudah disalah tafsir.

"Jika berlaku sesuatu tak elok, ibu tiri sering dipersalahkan. Masyarakat anggap duduk dengan ibu tiri, tidak sama dengan ibu kandung. Tentunya anak tertekan berdepan dengan ibu tiri.

"Namun, jika anak dididik dengan baik dan berjaya, penghargaan serta pujian akan diberikan kepada ibu kandung. Jadi wujud kononnya ibu tunggal masih mampu mendidik anak. Hakikatnya, anak tinggal dengan ibu tiri," katanya.

Faezah atau nama sebenar, Noor Faezah Md Elai mendirikan rumah tangga dengan pengarah, Heykal Hanafiah pada September 2011. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, malah tiga anak tiri menerusi perkahwinan Heykal terdahulu turut tinggal bersama.

Bagi Faezah, dia berharap senario sebegitu tidak boleh lagi diguna pakai.

"Mentaliti jenis apa ini? Ini bukan zaman watak dongeng, Cinderella yang dianiayai ibu tiri. Sekarang sudah 2020. Saya tidak terkejut mendengar kisah anak tiri yang menganiaya ibu tiri," katanya.

Bagaimanapun, Faezah berkata, luahan hatinya tiada kaitan dengan kehidupan realitinya.

"Saya bersyukur memiliki tiga tiri yang baik dan memahami. Saya menjaga mereka sejak berkahwin dengan suami.

"Saya cukup menjaga sensitiviti dan perasaan ibu kandung mereka. Sebab itu, saya tidak berkongsi mengenai anak tiri kerana bimbang akan mengguris perasaan ibu mereka.

"Ibu tiri juga layak dihormati seperti ibu kandung. Ibu tiri mencurah kasih sayang, masa dan tenaga untuk bukan darah daging mereka.

"Jadi, kepada semua ibu kandung, jika anak anda disayangi ibu tiri, kalian cukup bertuah. Nasihat pada anak, tak salah menyayangi ibu atau bapa tiri. Bukan menghasut anak untuk membenci keluarga tiri yang menjaga mereka. Kena ingat, ibu kandung tak memikul tanggungjawab menjaga dan mendidik anak," katanya.

Katanya, jaga anak dengan sepenuh hati tanpa mengharapkan balasan jika bergelar ibu atau bapa tiri.

"Buatlah dengan ikhlas. Jika terlalu mengharap akan berakhir dengan kekecewaan," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post