
Penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa, Datuk Normashayu Puteh berang apabila filem terbitannya menjadi mangsa 'penyamun' cetak rompak digital dengan hanya dijual RM1 menerusi platform e-dagang.
Bukan hanya filem Ada Apa Dengan Dosa, malah beberapa filem lain seperti Keluarga Iskandar The Movie dan Town Mall turut dijual tanpa kebenaran menerusi platform itu sejak sebulan lalu.
Normashayu berkata, dia kecewa apabila filem arahan Rahila Ali itu dirompak dan dijual tanpa mendapat keizinannya.
"Saya berhasrat mahu menyaman platform e-dagang yang menjual filem saya tanpa kebenaran. Saya mempunyai hak berbuat demikian. Saya akan bertindak tegas bagi membuktikan saya serius melindungi hak cipta.
"Siapa boleh duduk diam apabila harta dirompak? Saya nekad untuk menyaman RM50 juta, biarpun mungkin ada yang mempersoalkan nilai filem saya. Biarlah, itu hak saya.
"Saya tahu filem saya boleh jual sebanyak itu sekiranya ia ditayangkan bukan ketika pandemik COVID-19. Jadi, saya mempunyai hak berbuat demikian, kenapa tidak minta izin sebelum jual? Saya tidak pernah memberikan kebenaran tayangan, melainkan menerusi Astro First," katanya.
"Ia seperti satu penghinaan apabila letak harga karya saya serendah ini, sedangkan kos menerbitkan filem berharga berjuta-juta.
"Tentunya saya malu sebagai penerbit yang serius menghasilkan karya. Tindakan mereka sangat biadap apabila hanya menjual pautan filem dengan harga RM1. Bersepah-sepah pautan filem berkenaan.
"Saya juga berang dengan sikap golongan yang memilih menonton secara percuma di atas platform yang tidak sepatutnya," katanya.
Normashayu berkata, dia menyuarakan kekecewaan dalam media sosial berikutan tiada susulan tindakan selepas membuat laporan polis pada 3 Julai lalu.
"Sudah lebih sebulan saya membuat laporan polis selepas mengetahui platform e-dagang berkenaan menjual filem saya tanpa kebenaran. Tetapi, hingga hari ini, tiada berita daripada pihak berkuasa.
"Bahan bukti semuanya sudah diberikan. Saya bukannya bercakap kosong, bukti yang diperlukan sudah serah kepada mereka.
"Saya mahu polis mengesan dan menangkap pelaku kerana negara mempunyai Akta Hak Cipta 1987 kerana ia adalah kesalahan serius. Saya harap perkara ini tidak diselesaikan menerusi 'pintu belakang' dan mahu pelaku bertanggungjawab atas apa yang dilakukan," katanya.
Namun, Ayu berkata, dia berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri yang sudah bertindak dan memandang berat mengenai kegiatan cetak rompak digital itu.
"Sudah berpuluh tahun berjuang dengan isu cetak rompak dan kita tak tahu fungsi FINAS sebelum ini. Bagaimanapun, saya lega apabila Ahmad Idham bangkit bertindak kerana enggan FINAS terus disalahkan.
"Saya berharap FINAS dapat menangani isu cetak rompak digital dengan segera. Saya adalah pemain industri yang serius, bukan sekadar menghasilkan filem tangkap muat, jadi sampai bila penerbit mahu berhadapan dengan isu ini.
"Sudahlah ekonomi merudum, jika isu ini berlarutan bagaimana kami mahu menjana pendapatan dan menghasilkan naskhah seterusnya," katanya yang akan mengeluarkan filem Autumn In Wales pada penghujung tahun ini.