Alina Hassan Dapat duit hibur peminat dalam Facebook




Bekas juara program realiti, Sinaran Pasport Kegemilangan 1996, Alina Hassan, 53, kini mencari pendapatan menerusi persembahan atas talian.

Kongsi Alina, selepas perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ramai yang sudah berani keluar membeli barang sendiri, jadi dia kekurangan pelanggan yang mengupahnya membeli barang.

"Sekarang orang sudah berani keluar membeli barang sendiri, jadi selang dua hari, dapatlah satu kerja. Kalau ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu, Alhamdullillah ada rezeki setiap hari.

"Jadi, saya buat persembahan menerusi Facebook Alina Hassan seperti ramai busker sekarang buat, sejak minggu lalu. Apa salahnya saya mencuba nyanyi dari rumah, dapat saya menjana pendapatan daripada tidak berbuat apa-apa.

"Saya sertakan nombor akaun setiap kali membuat persembahan. Syukur ada pendapatan, ada masa banyak dan ada ketika, sikit," katanya.

Bagaimanapun, pemenang tempat ketiga program realiti, Mentor Otai 2018 itu mahu mencari lokasi seperti kedai makan yang sesuai untuknya meneruskan persembahan atas talian ekoran tidak mahu mengganggu teman serumahnya.

"Saya masih mencari kedai makan yang sesuai sebab penat menyanyi mengawal suara kerana risau mengganggu teman serumah," katanya.

Terdahulu, BH mendedahkan kisah Alina terputus sumber pendapatan sejak PKP dikuat kuasa.Tidak dapat menjalankan kerja sebagai tukang cuci, selain persembahan dibatalkan, Alina terpaksa mengambil upah membeli barang demi mencari sesuap rezeki sekitar kediamannya di Setapak.

Tidak mengeluh dengan kehidupannya, Alina berkata, dia boleh menjana sehingga lebih kurang RM30 sehari, berbeza dengan jumlah diperolehi ketika PKPP.

"Tak mengapalah, saya okay sahaja, tidaklah susah mana, lagipun saya seorang diri. Anak-anak semuanya tinggal bersama bekas suami yang bekerja sebagai cikgu di Kuala Terengganu.

"Cuma, saya perlu mencari duit bayar sewa bilik dan belanja makan setiap hari," kata ibu kepada empat anak lelaki ini

Post a Comment

Previous Post Next Post