Andi Bernadee Rindu bersarang dalam diri




WALAUPUN teringin sangat meraikan Aidilfitri di kampungnya di Sabah, penyanyi Andi Bernadee, 28, lebih utamakan keselamatan diri serta orang tersayang.

Walaupun terpaksa beraya sendirian ketika sambutan Aidilfitri Ahad lalu, Andi tidak kecewa atau rasa ralat.

Hakikatnya, Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile mengelak daripada sebarang perkumpulan sosial sejak pandemik Covid-19 tercetus.

Baginya, lebih baik dia patuh saja terhadap segala arahan keselamatan demi kebaikan semua.

Apapun, dia tidak menafikan rindu terhadap keluarga semestinya bersarang dalam diri. Mujur seisi keluarga faham, malah menggalakkan dia untuk lebih pentingkan keselamatan berbanding menyuruh pulang.

"Memandangkan situasi sekarang pun masih membahayakan, saya kekal dengan keputusan untuk tidak pulang beraya di kampung halaman. Lagipun, kalau pulang beraya pun ibaratnya tidak berbaloi. Jika tiba di Sabah, saya kena jalani kuarantin dan keluarga pun semua memutuskan untuk tidak beria-ria menyambut Aidilfitri tahun ini.

"Ibu saja yang sedih sedikit, namun sangat memahami dan tidak kisah pun saya tiada pada tahun ini. Itu yang sebaiknya jika kita mahu pastikan rantaian virus ini boleh diputuskan secepat mungkin," katanya.

Sejak hari raya pertama lalu, Andi tidak keluar ke mana-mana. Dia juga bersyukur apabila dapat menghabiskan masa di rumah.

Katanya, barulah dia menghargai masa berharga apabila dapat melakukan banyak perkara walaupun dari rumah. Antaranya dia mahu membina studio kecil dalam rumah sendiri untuk kerja rakaman lagu.

"Impian membina studio kecil memang saya pendam sejak dulu. Sekurang-kurangnya, saya boleh pelajari selok-belok bagaimana untuk mengendalikan proses pembikinan lagu pula selepas ini.

"Saya sudah memulakan serba sedikit pembinaan studio itu. Tapi, tidak sampai nak buat studio yang gah seperti studio rakaman sebenar. Cukup setakat boleh melakukan kerja pembikinan lagu yang ringkas.

"Mujur banyak masa dihabiskan di rumah sekarang untuk merealisasikan impian itu. Kebetulan saya pun merancang untuk buat lagu sendiri pula dan pastinya studio itu sangat berguna bagi tujuan berkenaan," katanya.

Bercerita mengenai kerjaya seninya, Andi berkata, dia kini dalam proses menyediakan segala bahan untuk album penuh sulungnya. Namun, ia masih berada di peringkat awal dan perlu pertolongan ramai pakar.

"Masih banyak aspek yang masih di peringkat awal termasuk konsepnya. Belum ada sebarang perkembangan terbaru, tetapi saya sasarkan untuk keluarkan album penuh ini.

"Untuk pengisiannya pula, saya turut akan memuatkan lagu yang pernah saya lancarkan sebelum ini. Yang pasti, saya ingin pelbagaikan jenis rentak lagu dalam album itu kelak," katanya.

Dalam pada itu, Andi turut bersyukur apabila dapat memanfaatkan Ramadan lalu dengan melakukan misi bantuan.

Menurutnya, ia adalah waktu yang tepat untuknya berbuat demikian apatah lagi ramai terkesan dengan situasi pandemik Covid-19 sekarang.

Dia mengakui terpanggil berbuat demikian apabila insan seni antara yang paling terjejas bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Justeru, dia berganding bahu dengan pihak pengurusan untuk menghulur bantuan yang termampu.

"Saya sedih sebenarnya melihat nasib rakan artis dan penggiat seni yang berdepan kesukaran hidup pada situasi sekarang. Oleh itu, dengan bantuan seorang rakan yang bekerja di bahagian produksi, saya memulakan misi terbabit.

"Walaupun tidak seberapa, saya cuba sedaya upaya untuk menghulurkan bantuan menggunakan simpanan sendiri. Syukur, dapat meringankan beban mereka dan seronok melihat kegembiraan mereka.

"Saya lakukannya secara berperingkat di mana saya mengutamakan mereka yang betul-betul memerlukan berdasarkan maklumat saya dapat. Mereka termasuk kru produksi, artis sakit dan artis veteran," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post