Fareez Fauzi cepat memberontak?




Penyanyi, Fareez Fauzi mengakui berdepan dengan laluan sukar bagi memahat nama dan pengaruh dalam industri muzik.

Fareez atau nama sebenarnya Muhammad Fareez Hazwan, 23, berkata perjalanan kerjayanya tidak serancak yang disangka apabila menjuarai program realiti, Mentor Milenia pada 2016. Malah, langkah agak perlahan selepas beroleh kemenangan.

“Juara program realiti bukan tiket mudah untuk melakar kejayaan. Sudah banyak contoh apabila juara bagaikan tenggelam timbul, akhirnya ghaib begitu sahaja.

“Pertandingan hanya boleh dijadikan platform menyerlahkan kemampuan dan bakat, tetapi akhirnya, ia tetap bergantung kepada tuah serta rezeki,” katanya.

Fareez berkata, dia kecewa apabila usahanya tidak membuahkan hasil.

“Saya terdetik mahu menutup akaun laman sosial kerana percaturan menjadi penyanyi belum menyebelah diri.

“Saya tertekan selepas gagal mendapat perhatian walaupun berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan lagu diterima.

“Namun, tiada kesudahan jika saya larut dengan emosi. Saya perlu berfikir panjang dan rasional mengenai hala tuju dalam dunia seni,” katanya.


Fareez yang juga anak kepada pelakon, Fauzi Nawawi berkata, dia enggan dilihat tidak kental dalam perjuangan.

“Mengalah sebelum berjuang habis-habisan bukan prinsip hidup saya.

“Barangkali, usia masih muda dan faktor sekeliling menyebabkan saya cepat memberontak. Sedangkan, banyak cara lain untuk menyelesaikan masalah.

“Dalam fikiran saya, apa guna mempunyai media sosial jika hanya menjadi tempat menerima kecaman, sedangkan saya tidak pernah berpeluk tubuh,” katanya.

Namun, Fareez bersyukur kerjaya nyanyiannya bukan hanya disokong keluarga dan teman, malah ibu tirinya yang juga pelakon, Lisdawati menjadi pengkritik utama dalam kerjaya seninya.

Fareez berkata, dia bertuah ibu tirinya tidak lokek berkongsi ilmu atau teguran.

“Ibu tiri sering memberi nasihat. Dia, seorang yang tegas dan sentiasa meminta saya menitikberatkan soal kekemasan diri, disiplin serta cara berkomunikasi.

“Dia cukup marah jika saya lambat dan tidak menghormati masa. Dia selalu menekankan masa kerana ramai yang mengambil mudah soal ini.

“Bapa pula sering menasihati menghargai peluang terbentang di depan mata. Dia tidak mahu saya mempersia-siakan ruang diberikan,” katanya yang kini dalam rangka mempromosikan single berjudul Sedar.

Post a Comment

Previous Post Next Post