Yusuf Bahrin Dulu tak pandang, sekarang nak berkawan pula




Pelakon, Yusuf Bahrin, 27, mengakui terkilan apabila dituduh mula lupa diri sejak namanya dikenali selepas membintangi drama Sweet Dreams.

Yusuf berkata, dia tidak pernah berubah atau mendabik dada, sebaliknya hanya berhati-hati dengan mereka yang tiba-tiba mendekati apabila kemunculannya mula diberi perhatian.

“Dahulu, saya pernah tidak dihiraukan, malah saya bagaikan tidak wujud di mata segelintir pihak. Apabila Sweet Dreams meletup, tiba-tiba mereka mula menegur, termasuk menghantar mesej peribadi di laman sosial.

“Memang saya terkejut apabila dituduh lupa diri. Kenapa cakap begitu? Sebelum ini, ketika nama saya belum dikenali, mereka tidak pernah ambil tahu atau bertanya khabar.

“Bukan saya tidak mahu melayan, tetapi saya terasa hati kerana diperlakukan seperti itu. Saya tidak pernah melupakan mereka yang ada bersama ketika saya di bawah.

“Saya bersyukur masih ada yang menyokong minat, biarpun ketika itu, saya masih lagi bekerja sebagai tukang gunting rambut,” katanya.


Sedang popular menerusi drama Satukan Rasa, bakat Yusuf mula diperkenalkan pada Oktober tahun lalu menerusi telefilem Cik Reen Encik Ngok Ngek Raya.

Namun, watak Doktor Amar dalam Sweet Dreams membawa tuah kepada pelakon yang dikatakan memiliki wajah iras Aeril Zafrel itu.

“Ramai mengatakan saya memiliki wajah seperti Aeril, tetapi rasanya tidak. Siapa saya untuk dikaitkan dengan Aeril yang sudah terbukti bakat dan kemampuannya.

“Untuk tidak terus disamakan dengan pelakon itu, saya terpaksa memotong pendek rambut dan mencukur jambang. Sebelum ini, saya suka menyimpan rambut kerana selesa dengan imej itu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post