Hairul Azreen Maaf tubuh saya bukan untuk dijual




Pelakon Hairul Azreen menafikan tanggapan segelintir pihak dirinya sengaja tidak berbaju dalam salah satu babak filem Wira bagi melariskan karya itu.

Menurut Hairul, dia menjayakan babak yang menonjolkan tubuh sasanya itu demi memenuhi tuntutan watak semata-mata dan tiada niat lain.

“Maaf, saya tidak jual tubuh sasa sebaliknya mahu jual babak aksi untuk menarik penonton ke pawagam.

“Babak tidak berbaju itu dibuat untuk adegan pertarungan yang dipaparkan dalam filem ini,” katanya.

Menurut Hairul, dia bukan sengaja tayang badan sebaliknya ia atas permintaan sutradara filem itu, Adrian Teh.

“Saya hanya ikut arahan pengarah yang mahu babak tidak berbaju bagi memantapkan jalan cerita,” katanya yang ditemui di sidang media dan tayangan filem Wira di ibu kota, petang tadi.

Mengulas babak aksi dalam filem itu, kata Hairul, dia tidak serik walaupun ligamen kaki kanannya terkoyak ketika penggambaran.


“Saya pernah cedera dalam filem Paskal tetapi kecederaan ketika menjayakan filem Wira paling teruk setakat ini.

“Namun, tak mengapa kerana Wira karya aksi yang saya impikan selama ini,” katanya.

Hairul turut menzahirkan rasa bangga kerana dapat bekerjasama dengan pengarah lagak ngeri terkenal Indonesia yang pernah membintangi filem John Wick, Yayan Ruhian.

“Saya bayangkan diri ini seperti Keanu Reeves yang berdiri di samping Yayan dalam filem hollywood itu.

“Yayan sangat bagus dan banyak beri tunjuk ajar ketika babak aksi. Malah, dia sangat merendah diri meski sangat terkenal,” katanya.

Filem Wira menggabungkan barisan pelakon dari Malaysia dan Indonesia seperti Fify Azmi, Henley Hii, Yayan Ruhian, Ismi Melinda, Dain Said, Hilal Azman dan Josiah Hogan.

Filem yang menyaksikan kerjasama lima syarikat iaitu Multimedia Entertainment, ACT 2 Pictures, Golden Screen Cinemas, Astro Shaw dan Primeworks Studios itu akan menemui penonton bermula 21 November ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post