Neelofa terima anugerah Influencer Award 2019 Monaco




Pengacara, pelakon dan usahawan popular, Neelofa mencatat satu lagi kejayaan peribadi apabila menerima Anugerah Influencer 2019 (IAM 2019) dalam kategori Usahawan dalam penganjuran Influencer Awards 2019 Monaco yang berlangsung di Monte Carlo, Monaco, Ahad lalu.

Neelofa, 30, atau nama penuhnya, Noor Neelofa Mohd. Noor dipilih untuk menerima trofi berkenaan berdasarkan pencapaiannya sepanjang tahun 2018.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat bersyukur dan teruja menerima anugerah ini.

“Memandangkan pemilihan setiap penerima anugerah dibuat berdasarkan penilaian juri dari New York, Los Angeles, Perancis dan negara Asia Barat, membuatkan anugerah ini bertambah istimewa,” katanya teruja memandangkan calon-calon setiap kategori datang dari seluruh dunia.

Menurut Neelofa, bisnes hijab yang diusahakan sejak 2014 dan prioritinya terhadap fesyen telah membuka peluang untuknya mengembara dan memperkenalkan Malaysia ke persada dunia.

“Saya sendiri tidak sangka diberikan pengiktirafan sebegini rupa. Bermula dengan perniagaan kasut secara kecil-kecilan di rumah membawa kepada kewujudan jenama Naelofar, pengiktirafan ini merupakan titik tertinggi dalam karier bisnes saya setakat ini.

“Sejujurnya, saya berasa sangat bertuah memandangkan bisnes hijab ini mampu menjadi platform buat saya memperkenalkan negara kita dan modest fashion kepada orang luar,” katanya lagi.

Influencer Awards 2019 Monaco merupakan penganjuran kedua selepas diadakan dengan jayanya pada tahun lalu.

Majlis yang mendapat jolokan ‘Anugerah Oscar bagi dunia digital’ itu diadakan di La Salle des Etoiles di Monaco. Anugerah tersebut direalisasikan oleh Pauline Ducruet iaitu anak sulung kepada Puteri Monaco, Puteri Stephanie dan beberapa individu lain seperti Lolita Abraham, Maxime Giaccardi dan Thomas Peters.

Antara pemenang pada majlis tersebut termasuklah blogger fesyen dari Perancis, Caroline Receveur (kategori Lifestyle) dan jurumekap Kim Kardashian, Mario Dedivanovic (kategori Make-Up Artist Influencer).







Post a Comment

Previous Post Next Post