Syazwan Zulkifly pilih pramugari




Selepas beberapa kali hubungan cintanya terputus di tengah jalan, aktor Syazwan Zulkifly, 32, akhirnya memilih untuk mengikat tali pertunangan dengan kekasihnya yang bertugas sebagai pramugari, Syawalriah Zulkifli, 32, pada 31 Ogos ini.

Menurut pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu, hatinya terbuka untuk membawa hubungan bersama Syawalriah ke peringkat yang lebih serius atas faktor usia dan kesihatan kedua orang tuanya.

Syazwan bagaimanapun tidak meletakkan sebarang tempoh untuk pertunangan dan belum mempunyai butiran tentang perkahwinan.

Justeru, dia memohon doa daripada peminat agar pertunangannya berjalan lancar dan hubungan tersebut berakhir sehingga ke jenjang pelamin.

Khabarnya Syazwan bakal melangsungkan pertunangan?

Syazwan: Memang benar, saya dan kekasih, Syawalriah akan melangsungkan majlis pertunangan pada 31 Ogos ini di kediaman keluarganya di Taiping, Perak.

Apakah yang membuka hati anda untuk berumah tangga?

Sebenarnya sebelum ini pun saya serius dalam setiap hubungan, tetapi tiada jodoh. Berbeza dengan Syawalriah, saya sudah mengenalinya selama 10 tahun dan hubungan kami bermula sebagai sahabat sebelum menjadi kekasih.

Kami juga sudah mengenali keluarga masing-masing. Jadi, buat menunggu lagi, umur saya semakin tua, begitu juga dengan kedua ibu bapa. Sebelum mereka sakit, lebih baik saya berkahwin.


Adakah keputusan untuk mendirikan rumah tangga merupakan permintaan ibu bapa?

Tidaklah. Seru untuk bertunang itu datang atas kesedaran sendiri. Melihat keadaan ibu, Rosnani Ali, yang sudah mula sakit, jadi lebih baik saya percepatkan perkahwinan. Namun, kami belum menetapkan tempoh pertunangan dan belum merancang secara terperinci soal perkahwinan.

Bagaimanakah penerimaan kekasih dengan karier anda sebagai pelakon?

Kami berkawan sudah lama, oleh itu dia memang tahu tentang kerja dan setiap gosip membabitkan saya. Malah, dia amat memahami waktu kerja saya yang berbeza dengan orang lain. Mungkin hubungan sebelum ini tidak menjadi kerana kenal dalam sebulan dua terus bercinta. Jadi, persefahaman itu tidak ada. Berbeza dengan bakal tunang, kami bersahabat untuk tempoh yang lama sebelum bercinta.

Bolehkah kongsikan penerimaan bakal tunang tentang gosip anda seorang panas baran?

Dia tahu saya bukan panas baran kecuali membabitkan satu kes dahulu. Sepanjang kerja, saya tidak pernah ada kes bergaduh di set penggambaran atau buat hal sesama rakan artis.

Sudahkah anda bersedia untuk menjadi seorang suami?

Soal jodoh dan menjadi suami bukan ditentukan oleh saya. Saya sendiri tidak pernah rancang, cuma apabila tiba waktunya untuk menjadi suami secara automatik saya akan bersedia.

Bagaimanakah dengan dugaan pertunangan, sudahkah anda bersedia?

Saya tidak tahu dan tidak mampu untuk menjawab soalan ini kerana belum melaluinya lagi. Setakat ini, kami berada di landasan yang betul. Cuma saya mengharapkan agar peminat dapat mendoakan hubungan kami sampai ke jenjang pelamin.

Post a Comment

Previous Post Next Post