Semangat baharu Aqmal




Mula menceburi bidang nyanyian sejak dua tahun lalu, namun langkah Aqmal terhenti seketika apabila lagu pertamanya kurang mendapat sambutan.

Tambahan pula, ketika itu dia mengikat kontrak sebagai pemain futsal Melaka. Sehubungan itu, anak muda berusia 22 tahun ini fokus pada perjanjian yang sudah dibuat.

Selepas kontrak berkenaan tamat, Aqmal nekad kembali meneruskan impian yang tergendala dan dia sedikit pun tidak menyesal dengan pilihannya.

“Memang sejak kecil saya meminati muzik. Tidak ada sebarang perasaan menyesal meninggalkan dunia sukan dan memilih bidang nyanyian kerana pada masa lapang saya masih boleh bermain futsal.

“Selepas dua tahun sibuk dengan futsal, kini saya kembali dengan semangat baharu. Keluarga juga tidak membantah, malah mereka menyokong pilihan saya menjadi penyanyi,” katanya.

Ditanya sama ada masih berkeinginan meneruskan karier sebagai pemain futsal, Aqmal berkata, buat masa ini lebih baik dia memberikan perhatian terhadap nyanyian.

“Kalau dijemput bermain perlawanan persahabatan, saya tidak ada masalah kerana ia tidak mengambil masa lama. Lagipun, jadual saya semakin penuh dengan aktiviti nyanyian.

“Saya sedar semakin ramai penyanyi baharu yang muncul dan lebih bagus daripada saya. Jadi, saya perlu memilih dan fokus pada bidang ini dan berusaha melakukan yang terbaik untuk maju sebagai penyanyi,” katanya.


Sedang sibuk mempromosikan lagu Lepaskanlah Aku, kata Aqmal, dia mendapat peluang merakamkan lagu berkenaan selepas memenangi pertandingan anjuran Ag Astillah dan rakannya.

Pada 2017, Aqmal mendapat panggilan daripada abangnya yang memaklumkan mengenai pertandingan berkenaan. Tuah memihak kepadanya apabila muncul sebagai juara.

“Saya kemudian diberikan dua lagu, bagaimanapun lagu kedua ada sedikit krisis dengan penulis lirik maka saya tampil dengan Lepaskanlah Aku. Bagaimanapun, mungkin ketika itu pendengar kurang berminat dengan genre rock balada sebab itulah ia kurang mendapat sambutan.

“Disember lalu, saya sekali lagi tampil mempertaruhkan lagu itu. Dengan bantuan pihak pengurusan yang mengadakan jelajah promosi lagu, ia semakin mendapat sambutan,” katanya.

Masih mengekalkan rentak yang sama, Aqmal percaya, ia akan diterima baik tambahan pula masa kini lagu dengan genre seperti itu semakin diterima baik dan mendapat tempat di hati pendengar.

Post a Comment

Previous Post Next Post