Nabil mengakui keterlanjurannya mencampak tanjak secara sengaja ke pentas MLS.
Tindakan pengacara Nabil Ahmad mencampak tanjak yang dipakainya ke lantai sewaktu program Muzikal Lawak Superstar (MLS) pada Jumaat mengundang kecaman netizen di laman sosial.
Rata-rata menyifatkan perbuatan Nabil itu sebagai biadab kerana tidak menghormati tataetika pemakaian busana tradisional Melayu yang tinggi nilainya.
Nabil membuat permohonan maaf secara terbuka di laman Instagram.
Bagaimanapun menerusi video pendek yang dimuat naik di Instagram, Nabil tampil mengakui keterlanjurannya dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
“Assalamualaikum, saya Nabil Ahmad. Saya nak buat permohonan maaf secara terbuka di atas keterlanjuran saya malam tadi di atas pentas Muzikal Lawak Superstar.
“Tidak menjadi niat saya untuk memperlekehkan bangsa dan adat Melayu kita terutama sekali tanjak yang saya pakai. Saya telah ditegur secara baik oleh Tok Cindai dan seluruh ahli keluarga pengabdi budaya.
“Saya ingin memohon maaf dan ampun kepada semua yang terguris hati dan perasaan di atas keterlanjuran saya,” kata Nabil.
Nabil dan Nabila Huda selaku pengacara program MLS.
Dalam pada itu, Nabil turut menyatakan rasa kesal dan malu dengan tindakannya itu.
“Saya manusia yang banyak melakukan kekhilafan dan harapnya permohonan maaf ini dapat memberi pengajaran kepada saya.
“Hal ini betul-betul memperingatkan saya mengenai maruah budaya bangsa Melayu kita.
“Saya amat malu dengan perbuatan saya malam tadi #maafkansaya,” tulisnya.
Perbuatan yang dilakukannya itu telah mendapat teguran daripada Balai Adat Tok Cindai yang mewakili seluruh pengamal dan pendiri budaya Melayu.
Menerusi teguran itu, mereka melahirkan rasa kesal kerana perbuatan Nabil itu dianggap menjatuhkan maruah bangsa kerana tanjak adalah pemakaian yang paling atas dalam adat Melayu.