Kila gembira menjalani kehidupan solo tanpa kekasih.
Penyanyi Kilafairy mengakui dia lebih selesa menjalani kehidupan solo tanpa kekasih namun tidak menolak untuk berkahwin segera jika sudah bertemu jodoh.
Menurut Kila atau nama sebenarnya Syakila Nisa Jahangir Khan, 27, dia tidak meletakkan cinta sebagai keutamaan kerana ingin fokus pada perniagaan produk kecantikannya.
"Jodoh tak ada lagi, kalau ada memang nak terus kahwin saja tapi saya gembira dengan kehidupan saya sekarang.
Kila mahu fokus pada perniagaan produk kecantikannya.
"Bagi saya, mungkin ada hikmah juga saya belum ada kekasih sebab ada benda lain yang saya belum capai. Lagipun bercinta bukan fokus utama saya sejak dahulu lagi.
"Saya percaya pada ketentuan dan Insya-Allah saya yakin ada jodoh saya nanti," kata Kila kepada mStar.
Kila sebelum ini pernah digosipkan bercinta dengan pelakon berasal dari Indonesia, Hardy Hartono namun dia menjelaskan hubungan mereka sekadar kawan sahaja.
Dalam pada itu, Kila memberitahu dia tidak berasa tertekan melihat rakan-rakannya sudah berkahwin kerana ibunya, Rohana Jalil pernah melarangnya untuk berkahwin di usia muda.
Kila mahu ikut jejak langkah ibunya kahwin ketika usia 30 tahun.
Kata Kila, dia ingin mengikut jejak langkah ibunya yang juga penyanyi itu berkahwin ketika usia mencecah usia 30 tahun.
"Saya gembira melihat kawan-kawan saya yang dah berkahwin tapi ia bukan tekanan buat saya. Mungkin sebab mama pun kahwin lambat, masa umur 30 tahun.
"Mama pun selalu kata tak payah kahwin dan kerja dulu tapi berbeza pula dengan bapa saya yang suruh kahwin cepat.
"Tapi Alhamdulillah, mereka tidak pernah memaksa saya untuk berkahwin. Sebelum ini memang ada sasaran nak kahwin, tapi sekarang kalau boleh, umur 30 saya dah ada seseorang istimewa," ujarnya.