Ismail Izzani Tiada perancangan sambung belajar




Baru berusia 19 tahun dan perjalanan penyanyi muda dikenali umum sebagai Ismail Izzani itu masih terlalu panjang. Sekadar menyandarkan masa depan terhadap dunia seni, Ismail pernah secara terbuka membuat pengakuan tidak suka belajar dan ekoran keseriusan terhadap muzik, dia juga tidak malu mengakui tidak berminat untuk melengkapkan dirinya dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu seperti rakan-rakan seusia.

Ditemui Kosmo! pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Cinta, pemuda yang mesra disapa Mail itu masih dengan pendiriannya. Dia belum mempunyai perancangan untuk menyambung pelajaran.

Namun, penyanyi yang popular dengan lagu Luar Biasa itu bagaimanapun tidak menolak, seandainya suatu hari nanti, hatinya terbuka untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Bukan mendabik dada dilahirkan dalam keluarga berstatus ‘berada’, sekali gus membelakangkan hal akademik, anak kepada anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam itu mempunyai pegangan hidup tersendiri.

“Bagi saya, kalau sambung belajar tetapi tiada pengalaman pun, tiada gunanya. Buat masa sekarang, susah (untuk sambung belajar) sebab jadual kerjaya memang padat.

“Bagaimanapun, apabila tiba waktu nanti insya-Allah saya akan sambung belajar,” katanya yang ditemui di Forest Valley Hall, Selangor baru-baru ini.

Tambah Ismail, dia masih belum terbuka hati untuk menyambung pelajaran kerana sukar untuk menumpukan perhatian terhadap banyak perkara pada satu-satu masa, terutama berkaitan akademik.

“Sebenarnya, saya jenis orang yang susah untuk duduk dan belajar. Saya suka belajar berdasarkan pengalaman dan pendapat orang.

“Apa pun, saya hormat terhadap orang yang sambung belajar seperti rakan seperjuangan iaitu Naim Daniel yang tamat belajar terlebih dahulu, barulah fokus dalam bidang muzik,” katanya lagi.

Matlamat muzik

Diajak berbicara tentang single terbaharunya, Cinta yang merupakan ciptaan sendiri bersama komposer, Mas Dewangga Ismail berkata, pembikinan lagu tersebut tercetus secara tidak sengaja.

“Sepatutnya kami menyiapkan lagu lain, namun lain pula jadinya. Jadi, idea lagu ini datang secara mengejut dan kami siapkan melodi serta liriknya dalam tempoh sehari.

“Saya puas hati dengan lagu Cinta kerana liriknya ditulis oleh saya sepenuhnya. Kalau dalam karya-karya terdahulu, saya hanya terlibat dalam beberapa bahagian sahaja, namun lagu ini sebaliknya,” katanya.

Disuakan pertanyaan tentang kecenderungannya melibatkan diri dalam sayap penciptaan lagu, Ismail bagaimanapun mendedahkan, dia belum memiliki keberanian menulis untuk penyanyi lain.

“Buat masa sekarang, saya belum ada keberanian untuk tulis lagu buat penyanyi lain bagi pasaran arus perdana.

“Dalam katalog saya sekarang, ada banyak lagu namun saya tidak yakin untuk beri kepada orang lain. Banyak lagi ruang yang perlu diperbaiki andai saya ingin bergiat serius dalam soal penciptaan lagu,” sambungnya.

Popular dalam kalangan remaja, ada satu ruang yang belum terisi tentang Ismail Izzani iaitu bertanding di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL). Kata Ismail, agenda tersebut bukan keutamaan buatnya. Dia sebaliknya lebih mahu fokus terhadap soal perkongsian karya bersama peminat.

“Bertanding di pentas AJL bukan matlamat saya. Sejujurnya, saya hanya ingin berkongsi karya dengan peminat. Saya menyanyi bukan ingin kejar anugerah tetapi kerana ingin kongsi bakat dengan orang ramai,” jelasnya yang kini bernaung bawah syarikat World Peace Entertainment,

Tambah Ismail, dia melihat kejayaan penyanyi Yuna mendakap kejayaan di luar Malaysia sebagai satu suntikan inspirasi.

“Pertama sekali, saya yakin industri muzik Malaysia sedang berkembang. Kalau kita lihat negara Indonesia, mereka sangat menghargai muzik dengan menerima pelbagai jenis muzik seperti jazz, dangdut dan sebagainya. Kita belum sampai ke tahap itu.

“Yuna merupakan inspirasi terbesar saya untuk berjaya dalam bidang ini. Kalau boleh suatu hari nanti, saya ingin menjadi sepertinya, mahu membawa nama Malaysia ke peringkat antarabangsa,” katanya bersemangat.


Bercinta

Ralit bercerita tentang misi dan inspirasi, Ismail turut diajak bercerita tentang hubungan rapatnya dengan penyanyi baharu, Shalma Eliana. Tanpa berselindung, dia tidak menafikan, wanita itu antara individu yang akrab dengannya kini.

Bagaimanapun, hubungan tersebut bermakna mereka sedang dilamun cinta kerana mereka masih terlalu muda untuk memikirkan soal sebegitu.

“Kami tidak bercinta namun kami rapat sebab muzik. Kami banyak menghabiskan masa menyanyi bersama. “Lagi pun, dia pun baru ingin membina nama dalam industri. Sebagai seorang yang juga masih bertatih dalam industri, saya sedia berkongsi ilmu dan pengalaman yang tidak seberapa,” katanya.

Ditanya sejak bila mereka mengenali diri masing-masing, Ismail berkata, dia mula mengenali Shalma sejak berada di tingkatan dua.

“Saya kenal dia sejak tingkatan dua namun mula rapat tahun lalu sebab sama-sama minat muzik. Dia pula belajar di Shah Alam dan kami sering lepak bersama.

“Apa pun, saya selalu menasihatkan dia supaya beri sepenuh hati terhadap perkara yang diusahakannya. Kalau dia ingin belajar, buat betul-betul dan kalau ingin menyanyi, buat dengan baik,” katanya menggulung perbualan.

Muncul dengan single terbaharu berjudul Cinta, Ismail Izzani bercerita tentang aspirasi, idea sambung pengajian. Gosip percintaan dengan penyanyi baharu, Shalma Eliana.

Post a Comment

Previous Post Next Post