Siti Nordiana Orang tanya jawab sajalah




Sedekad melayari kehidupan sebagai ibu tunggal, tiada apa yang janggal lagi buat penyanyi popular, Siti Nordiana Alias atau Nana.

Bagi wanita cekal berusia 35 tahun ini, keutamaannya kini hanya tertumpu pada anak tunggal, Muhammad Rayyan Nakhaie, 11.

Ditambah rezeki yang tak putus dalam karier seni yang melonjakkan namanya semula sejak 2016, Nana akui sangat sibuk.

“Sekarang tumpuan saya hanya pada karier, anak dan ibu bapa. Soal jodoh, biarlah Tuhan tentukan. Jika masih ada, saya akur dan kalau sebaliknya pula tidak mengapalah. Pada saya, kebahagiaan Rayyan paling utama,” katanya.

Walaupun sudah lali dengan pertanyaan jodoh, Nana sentiasa bersikap terbuka untuk memberikan jawapan.

“Saya tak rimas pun apabila acap kali ditanya dan memberikan jawapan sama. Bagi saya, orang dah bertanya maka jawab sajalah.

“Lagipun, soalan itu bukan media saja yang sering bertanya, tetapi ada juga orang di sekeliling saya yang ingin tahu. Untuk saya, daripada mengelak lebih baik menjawab. Malah, saya juga pastikan jawapan diberi tidak menyinggung sesiapa,” katanya.

Berbicara mengenai karier seninya, Nana berkata, untuk 2019 ini dia sangat bersyukur dengan rezeki diperolehnya.

“Selain tawaran persembahan menyanyi yang tak putus, saya juga masih menjadi pilihan peminat untuk menang anugerah.

“Terus terang, saya sangat berterima kasih dengan sokongan berterusan yang diberikan itu. Teruskanlah menyokong saya,” katanya.

Bukan hanya aktif menyanyi, Nana juga rancak mengembangkan bakatnya dalam cabang seni lain seperti lakonan dan pengacaraan.

Menurut Nana, hingga kini tawaran berlakon dan mengacara pun masih diterima, cuma dia perlu mempertibangkan kerana keutamaan pada nyanyian.

Post a Comment

Previous Post Next Post