Santun budiman Dahlan Zainuddin dalam ingatan




Tatkala umat Islam saling teruja menanti ketibaan Syawal ternyata biduan negara, Datuk Dahlan Zainuddin menjadi hamba yang beruntung apabila dijemput mengadap Ilahi pada malam ke-23 Ramadan, waktu-waktu yang diintai setiap insan beriman untuk mencari keberkatan 10 malam terakhir Ramadan.

Selepas empat hari bertarung nyawa akibat serangan strok, Selasa lalu, perjalanan hayat dunia Dahlan bernoktah jua ada bulan mulia dengan tenang di sisi isteri, Datin Effa Rizan, 58, dan anak-anak di Hospital Selayang.

Biarpun telah terpisah roh daripada tubuh, jasadnya tenang persis sedang beradu dalam senyuman.

“Arwah seorang suami yang terbaik untuk saya, dia seorang yang sangat lembut,” demikian ungkapan awal dari bibir Effa saat ditemui Kosmo! di Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Bangsar, Rabu lalu.


Berteleku di sisi keranda suaminya, wajah Effa yang awalnya kelihatan sugul berubah rona tatkala mengimbau kenangan bahagia lebih 40 tahun hidup bersama Dahlan.

Selama empat dekad hidup bersama Dahlan, bapa kepada tiga anak itu disifatkan sang isteri sebagai seorang lelaki yang sangat bertanggungjawab dan begitu penyayang.

Akui Effa, dia tidak pernah sekali pun berenggang dengan suami dalam tempoh yang lama sehinggalah ajal memisahkan mereka pada malam 28 Mei lalu.

“Kami sudah lama bersama, bayangkan 42 tahun bukan tempoh yang sekejap. Selepas tidak lagi menyanyi, saya banyak duduk di rumah, membesarkan dan menjaga anak-anak.

“Saya pasti akan merasakan kehilangan ini kerana kami tidak pernah berpisah,” luahnya dalam sayu menyusun kata-kata.

Biarpun tidak menyempurnakan puasa bersama kerana masalah kesihatan, namun hakikat yang tidak pernah terjangka oleh Effa tahun ini apabila terpaksa reda menerima ketentuan Ilahi bahawa Aidilfitri ini bakal disambut tanpa Dahlan.

Penyanyi kelab

Menyorot hayat Dahlan sebagai anak seni, lelaki kelahiran Ipoh, Perak itu mula mencipta nama selepas memenangi pertandingan bakat nyanyian Bintang Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada tahun 1975.

Penyanyi sealiran pada era tersebut bukan calang-calang, antaranya Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Allahyarham Latif Ibrahim, termasuk yang masih aktif sehingga kini seperti Uji Rashid dan Datuk DJ Dave.

Bercerita tentang kisah awal karier Dahlan, DJ Dave mendedahkan, tidak ramai khalayak tahu kisah awal perjalanan seni penyanyi yang terkenal menerusi lagu Kisah Seorang Biduan itu. Katanya, Dahlan memulakan kerjaya sebagai penyanyi di kelab malam sebelum secara profesional aktif sebagai penyanyi.

“Saya mengenali Allahyarham sebelum beliau popular selepas memenangi Bintang RTM 1975. Hakikatnya, Allahyarham sudah banyak mengumpul pengalaman persembahan pentas di kelab-kelab malam.

“Dia selalu mengadakan persembahan di Garden Cafe, Ampang Park dan saya pasti hadir,” imbaunya.

Menyentuh mengenai keperibadian Allahyarham, DJ Dave berkata, Dahlan adalah seorang individu yang sopan tutur katanya dan tidak pernah menyakiti hati orang lain.

Di sebalik perwatakan budiman, Dahlan juga mempunyai sisi ceria dan mudah untuk didekati.

“Arwah seorang yang amat kelakar tetapi sentiasa menjaga tutur bahasanya. Beliau tidak akan mengungkapkan sesuatu yang boleh mengguris perasaan orang lain. Pemergian Dahlan bukan sahaja kehilangan buat negara, malah dalam kalangan sahabatnya,” tutur DJ Dave.

Sebelum melalui perjalanan terakhir ke negeri abadi, Masjid Abu Bakar As-Sidiq juga menjadi saksi runtun jiwa setiap ahli keluarga dan rakan artis yang hadir memberikan penghormatan buat Allahyarham.

Abang Dell

Seiring gelaran salah seorang biduan negara disebut orang, kehilangan Dahlan turut menjentik emosi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mencemar duli melawat jenazah Allahyarham.

Baginda menyifatkan Dahlan sebagai bukan nama asing dalam arena seni suara kerana secara peribadi begitu mengenali dan meminati karya Allahyarham. Baginda mengakui, sering bertemu dan menyaksikan persembahan Dahlan dalam majlis-majlis keramaian yang pernah dipersembahkan di Pahang.

“Saya sememangnya mengenali Allahyarham sejak muda kerana beliau sering diundang untuk membuat persembahan dalam majlis-majlis keramaian di Pahang.

“Beliau seorang yang baik dan saya amat meminati beberapa lagu nyanyian arwah, antaranya sudah tentu Kisah Seorang Biduan. Saya mendoakan segala urusan berjalan lancar. Dahlan seorang biduan,” titah baginda seraya menyeru penggiat seni lain mencontohi bakat yang ada pada Allahyarham.

Dalam kalangan teman-teman seperjuangan, Uji Rashid antara yang turut terkesan pemergian Dahlan. Akuinya, selain Hail Amir, Dahlan adalah rakan sepentasnya yang paling rapat. Seperti rakan-rakan lain, Uji juga gemar mengusik Dahlan dengan panggilan abang Dell dan momen-momen tersebut pasti akan dirindui.

“Saya suka panggil Dahlan sebagai Abang Dell. Perwatakannya yang lembut membuatkan saya lagi suka mengusik tetapi beliau tidak mudah terasa hati.

“Saya, Dahlan, Sudirman dan Latif Ibrahim berada dalam satu era sekitar tahun 1970-an. Apabila seorang demi seorang telah pergi mengadap Pencipta, sudah tentu saya terasa kosong,” katanya menutup bicara.

Industri hiburan negara kembali berduka dengan pemergian mengejut biduan negara, Datuk Dahlan Zainuddin akibat serangan strok.

Post a Comment

Previous Post Next Post