Norman Hakim jadi rujukan keluarga berpecah




Pelakon Norman Hakim tidak kisah andai dirinya sering menjadi rujukan mana-mana pasangan yang melalui fasa keruntuhan rumah tangga.

Sehingga kini, kehidupan Norman dan bekas isterinya, Abby Abadi membina harmoni bersama keluarga dan pasangan terus menjadi inspirasi banyak orang, baik sebagai teladan atau sempadan.

Pernah dikecam namun bertahan dengan pilihan hati, pelakon Gerak Khas itu turut menyifatkan situasi yang dialaminya ketika berpisah dengan Abby mempunyai hikmah besar dan akhirnya boleh memberi panduan kepada orang lain.

Ikuti penjelasan daripada pelakon berusia 43 tahun itu ketika ditemui pada majlis tayangan program Syawal Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini.

Boleh Norman ceritakan penglibatan dalam naskhah hari raya untuk siaran RTM?

NORMAN HAKIM: Bagi siaran RTM, saya ada terlibat dengan dua projek iaitu telefilem Menantu Raya yang akan ditayangkan pada hari raya keempat, pukul 9 malam menerusi TV1. Sebuah lagi projek saya adalah program masakan Juadah Raya Nik Michael. Menerusinya, saya kumpulkan satu keluarga besar dan sama-sama memasak juadah raya untuk mereka.

Bentuk fizikal anda kelihatan sedikit susut. Adakah disebabkan puasa?

Mungkin saya sedikit kurus sebab tidak pernah meninggalkan rutin kardio setiap hari walaupun pada bulan Ramadan. Sebab kalau tinggal sehari dua, saya berasa pening-pening. Biarpun masih tidak timbang berat badan terkini, tetapi saya akui ada berasa perubahan pada berat badan.

Baiklah, boleh kongsikan persiapan raya anda sekeluarga tahun ini?

Alhamdulillah, persiapan raya semuanya sudah disiapkan awal sebelum Ramadan lagi. Itu semua bagi memudahkan dan tidak kelam kabut kalau disiapkan pada saat-saat akhir.

Bagaimana dengan destinasi raya tahun ini?

Setiap tahun rutin raya saya sekeluarga tetap sama. Pagi raya kami akan beraya di Kuantan, Pahang sebelah ibu bapa saya. Kemudian, kami akan pulang ke ibu kota untuk beraya dengan keluarga Abby dan suami. Rutin sebegitu tidak pernah ditinggalkan dan kami sudah amalkan sejak tujuh tahun lalu. Masuk raya kedua barulah kami akan pulang ke kampung isteri saya, Memey Shuhaiza di Johor.

Mungkin boleh komen tentang amalan beraya dengan bekas isteri dan keluarganya?

Sebab ia sudah jadi rutin dan lama-kelamaan tidak boleh tinggal. Saya akui pada awal-awal dahulu macam susah sedikit tetapi apabila sudah terbiasa, lama-lama semuanya jadi okey.

Baru-baru ini anda ada berkongsi mengenai keluarga yang berpecah-belah. Boleh jelaskan lanjut tentang hal tersebut?

Saya selalu menerima kiriman mesej menerusi Instagram yang rata-ratanya datang daripada anak muda. Mereka bercerita tentang keruntuhan rumah tangga tetapi bertanya tentang panduan untuk mengekalkan muafakat biarpun ibu dan ayah sudah berpisah. Sejujurnya, saya menangis ketika membaca mesej mereka sebab terbayang hasrat anak-anak itu yang tidak mendapat kasih sayang daripada orang tua.

Jadi, saya tidak kisah jika mereka meminta pendapat kerana 10 tahun dahulu, ada sebab Allah pilih saya untuk berada dalam situasi sama. Saya tidak pernah berasa susah kerana ini adalah tiket untuk saya melakukan dakwah kecil. Saya hanya membantu apa yang patut. Jangan hanya lihat kebahagiaan kami pada hari ini tetapi ironinya kami sama sahaja seperti orang lain yang pernah bercerai-berai. Alhamdulillah, baru-baru ini juga saya menunaikan umrah dan bawa doa-doa mereka ke sana.

Post a Comment

Previous Post Next Post