Pegangan relevansi Erra Fazira




Figura jelita Erra Fazira pernah terbang tinggi melangit suatu ketika dahulu. Dalam industri seni yang penuh dengan pancaroba, beliau juga pernah berdepan cabaran yang sangat menduga sehingga ada waktunya mempengaruhi momentum seninya. Namun pemilik nama sebenar, Fazira Wan Chek ini tidak pernah berhenti mengorak langkah.

Hampir tiga dasawarsa berkecimpung dalam arena hiburan tanah air, wanita berusia 45 tahun itu sangat cermat menyusun langkah. Tutur bicara juga membuktikan beliau bukan artis sebarangan yang bisa ditiup seperti lalang. Beliau ada pegangan utuh sebagai anak seni bermaruah.

Ketika segelintir selebriti wanita tanah air dipersoalkan erti iman berhubung tindakan membuka tudung seperti mudahnya mengupas kulit bawang, bekas Ratu Cantik Miss Malaysia World 1992 itu ada pandangan tersendiri. Sebagai jelitawan yang pernah meniti zaman muda dan kini kembali meniti fitrah diri seorang wanita Muslim, Erra dengan rendah hati menyeru khalayka agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan kritikan terhadap isu berkenaan.

“Tidak kira selebriti zaman sekarang atau dahulu, setiap daripada kami semua pasti diuji dengan dugaan berbeza-beza.

“Mungkin ada sebab mengapa seseorang wanita itu membuat keputusan untuk tidak lagi bertudung. Kita ingin menghentam dengan kata-kata atau menjatuhkan hukum pun, kita sendiri tidak berada di tempat mereka.

“Bagi saya, sebab seseorang selebriti wanita itu buka tudung kerana hanya difahami oleh empunya diri. Itu antara dia dengan Tuhan. Kita doakan sahaja yang terbaik agar urusannya dipermudahkan,” kata pelakon filem Polis Evo 2 itu ketika ditemui Kosmo! pada acara pelancaran koleksi hijab eksklusif Soffearose, The Primadona Series Erra Fazira baru-baru ini.

Istiqamah

Erra tidak menafikan, keterbukaan zaman milenial membawa cabaran lebih hebat berbanding buat golongan selebriti. Setiap informasi berada di hujung jari dan apa sahaja perkembangan baik atau buruk mudah tersebar.

“Zaman saya dahulu pun ada sahaja selebriti wanita yang buka tudung, namun kerana tiada platform seperti sosial media untuk berbalas-balas komen atau hentam-menghentam, tidaklah perkara itu menjadi sesuatu yang heboh diperkatakan.

“Manusia tidak jahat selama-lamanya. Siapa kita untuk menjatuhkan hukum atas sesuatu perkara,” tuturnya.

Menelaah perihal sendiri yang terus istiqamah dalam bertudung, Erra sentiasa memanjatkan doa agar imannya sentiasa dipelihara Allah.

“Bukan mudah untuk istiqamah dalam bertudung. Iman kita kadang-kadang berada di atas, kadang-kadang di bawah namun jangan pernah putus berdoa ke hadrat Allah.

“Seperti yang saya kata tadi, zaman sekarang banyak cabaran yang perlu ditempuhi wanita bertudung. Kita silap langkah sedikit, senang orang menuding jari dan berkata buruk tentang kita.

“Untuk saya, saya pun tidak tahu untuk memberi jawapan tentang soal bagaimana boleh istiqamah kerana saya sendiri pun masih banyak ruang yang perlu diperbaiki,” terang Erra.

Diminta mengulas berhubung masalah kemurungan atau depresi yang sering menjadi alasan segelintir saat berdepan isu kritikal, jawab Erra: “Jangan buat main-main masalah mental atau kemurungan. Masalah itu memang wujud dan boleh berlaku kepada sesiapa.

“Saya sifatkan mereka yang menggunakan alasan kemurungan untuk tujuan gimik sebagai tidak peka terhadap sensitiviti masyarakat. Mereka tidak matang.”

Solo

Bertemu dengan wanita yang seperti tidak dimakan usia itu, Erra tidak terlepas daripada diintip kisah hatinya. Status ibu tunggal yang dijunjung juga menjadikan sahamnya tidak sepi daripada persoalan jodoh yang sering bermain dalam fikiran ramai.

“Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan sekarang. Dalam apa juga situasi, saya perlu membahagiakan diri. Kalau tunggu apabila berdua baru mahu gembira, payahlah,” jelas Erra mengerling manja.

Tenang ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir, Erra berkata, persoalan tersebut mungkin tidak akan terhenti sama ada dia membuat pengumuman bahawa mereka masih bercinta atau sudah putus.

“Saya bukan budak sekolah yang perlu membuat pengakuan apabila menjalin hubungan. Sejak awal lagi, saya tidak pernah membuat pengakuan mengenai hubungan kami. Tetapi, jika memang kami putus, lambat-laun orang akan tahu juga,” katanya.

Terus diasak teki-teki sama, Erra hanya berkata, dia dan Shahir, 30, masih berkawan, namun tiada perancangan untuk membawa hubungan ke fasa seterusnya.

“Namun tidak bermakna kami bergaduh, sebaliknya saya dan Shahir masih lagi berhubung sebagai kawan. Jika ditanya, saya masih solo dan gembira bersama anak tunggal saya,” katanya.

Menyambut setiap pertanyaan dengan senyuman, Erra turut tumpang gembira melihat teman artis seperti Fasha Sandha yang kembali bertemu jodoh.

“Peluang kedua datang tidak kira usia. Saya juga tidak terkecuali mahu mencari kebahagiaan, tetapi tidak semestinya ditemui apabila hidup berdua. Bahagia itu subjektif.

“Sudah tentu sebagai wanita, saya gembira jika dipertemukan dengan jodoh yang baik, malah itu juga menjadi doa saya selepas lima tahun bersendiri,” katanya.

Single baharu

Turut meluahkan hasrat untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, Erra mendedahkan bakal muncul dengan single terbaru ciptaan Hafiz Hamidun, manakala lirik oleh Iman Imran berjudul Menangkah Cinta selepas Aidilfitri nanti.

Tidak menafikan gementar dan namun teruja dapat mengubat rindu apabila kembali bekerja di studio rakaman, Erra berkata, dia mengambil masa sebulan demi persediaan merakamkan lagu itu.

“Kali terakhir saya menghasilkan album, 10 tahun lalu. Selepas itu, saya ada menghasilkan single, termasuk lagu duet bersama Datin Seri Umie Aida, tetapi sekadar suka-suka.

“Nyanyian sebenarnya sudah sebati dengan diri, malah saya masih menerima undangan persembahan. Sebelum ini, memang saya berhasrat untuk mengeluarkan single, tetapi urusan itu menjadi lebih pantas dengan bantuan pihak pengurusan, Mind Order Sdn. Bhd.

“Lagu ini mungkin kedengaran seperti Pasrah, cuma liriknya lebih berat kerana ke arah ketuhanan,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran sebuah filem berjudul Wangi.

Primadona Filem Melayu, Erra Fazira berbicara tentang trend selebriti wanita tempatan sekarang yang tampaknya seperti mudah membulatkan tekad untuk tidak lagi bertudung.

Post a Comment

Previous Post Next Post