Ikmal Amry utamakan keluarga




Kerjaya seni Ikmal Amry dalam bidang lakonan boleh dikatakan baru sahaja bermula. Selepas mencuba nasib dalam pertandingan Hero Remaja 2017, kelibat pemilik nama sebenar, Mohd. Zulikmal Amry Ghazali itu mula kelihatan di layar kaca dan menghiasi beberapa drama rantaian tempatan.

Antara naskhah drama yang dibintangi oleh Ikmal termasuklah Syurgaku Tak Sempurna, Mencintaimu Mr. Photographer, Gantung The Series, Inai Yang Hilang, Sejuta Rasa Buat Adelia dan Aku Cinta Dia.

Sungguhpun namanya kini antara semakin mekar dalam kelompok pelakon baharu, namun agar sukar untuk melihat wajah Ikmal menunjangi sesebuah drama atau telefilem dengan membawakan watak utama.

Tidak pernah terkilan atau merajuk dengan situasi berkenaan, Ikmal sebaliknya sentiasa percaya dengan ketentuan dan rezeki ketentuan-Nya.

“Saya tidak pernah terasa atau ‘merajuk’ dengan industri. Setiap orang mempunyai rezeki masing-masing dan saya percaya rezeki akan datang juga nanti.

“Mungkin sekarang giliran rakan-rakan saya mencipta nama. Mana tahu, giliran saya pula pada masa akan datang. Apa yang penting, saya perlu bersabar dan teruskan usaha,” katanya ketika ditemui ketika sesi penggambaran drama siri mini terbaharu lakonannya, Voice Note baru-baru ini.

Kongsi Ikmal, walaupun disifatkan ramai orang sebagai pelakon yang mempunyai rupa, namun lelaki berusia 24 tahun itu masih mementingkan bakat untuk terus maju sebagai anak seni.

“Seseorang pelakon tidak boleh bergantung dengan rupa semata-mata. Kelakuan dan perangai perlu dijaga agar karier dapat berkembang dengan baik.

“Saya percaya, jika seseorang itu tidak bersandarkan rupa tetapi mempunyai personaliti yang baik, dia boleh pergi jauh,” katanya lagi.

Belajar

Sepanjang penglibatannya dalam bidang lakonan, Ikmal beruntung kerana banyak menerima tunjuk ajar daripada rakan-rakan yang turut bergelar pelakon.

“Kemahiran saya dalam bidang lakonan tidaklah sebesar mana. Jadi, saya ambil inisiatif untuk belajar bagi memperbaiki diri.

“Sebagai contoh, saya sering bertanyakan kepada Syafiq Kyle dan Aeril Zafrel tentang teknik untuk menangis di hadapan kamera.

“Dari situ, saya akan praktikkan nasihat yang diterima mengikut kesesuaian watak,” katanya lagi.

Berbicara lanjut, Ikmal menjelaskan, bidang lakonan bukanlah karier utama yang diidamkan. Sebaliknya, pelakon telefilem Selekoh Terakhir itu lebih tertarik untuk mendalami skop kerjaya pembikinan drama atau filem dari belakang tabir.

“Ketika menonton filem, saya lebih suka melihat kualiti yang ada pada sesebuah produksi. Saya akan berimaginasi sendiri tentang kerja-kerja yang dilakukan untuk membikin satu-satu babak.

“Kalau ikutkan minat asal, saya mahu bekerja sebagai tenaga belakang tabir. Tetapi, mungkin disebabkan sudah tertulis yang saya akan menjadi pelakon, saya terima seadanya,” ujar Ikmal.

Ibu bapa

Biarpun mempunyai minat yang mendalam terhadap produksi filem, Ikmal menolak jika ada yang beranggapan dia bercita-cita untuk duduk di kerusi pengarahan.

“Saya rasa, sampai bila-bila pun saya tidak layak untuk bergelar pengarah. Saya mungkin boleh menerbitkan drama atau filem, tetapi untuk bergelar pengarah, tidak sama sekali,” ungkapnya jujur.

Saat ditanya mengenai hala tujunya dalam bidang lakonan, Ikmal sebenarnya tidak pernah meletakkan sebarang sasaran mahupun harapan yang tinggi.

“Mungkin bagi sesetengah pelakon, mereka impikan anugerah dan populariti. Tetapi, bagi saya, kedua-dua perkara tersebut adalah bonus.

“Jika ditakdirkan saya popular atau memenangi sebarang anugerah, saya terima dengan lapang dada.

“Namun, paling penting adalah kemampuan saya menjalani kehidupan yang selesa dan dapat memberi kebahagiaan kepada ibu bapa. Itu sudah memadai,” katanya jujur.

Beralih tentang penglibatannya dalam drama Voice Note, Ikmal yang membawakan watak Faizul menyifatkan drama arahan Azmi Hatta itu sebagai sebuah naskhah yang sangat berbeza berbanding drama-drama lakonannya terdahulu.

“Sejujurnya, saya berasa sangat tertarik dengan jalan ceritanya yang sedikit gelap dan berat. Biarpun Voice Note berkisarkan remaja sekolah, namun kisah benar yang berlaku terhadap remaja dalam naskhah itu cukup tragis.

“Ditambah dengan skrip yang bagus dan beberapa adegan ‘berani’, saya percaya cerita ini bakal mendapat tempat di hati penonton,” katanya lagi.

Bercerita mengenai tugasnya menggalas watak Faizul, Ikmal langsung tidak berasa terbeban kerana sudah serasi menjayakan watak pelajar sekolah.

“Saya suka watak-watak sebegini. Sebelum Voice Note, saya kerap membawakan watak remaja atau pelajar sekolah

“Jadi, menjayakan watak Faizul bukanlah satu masalah yang besar,” tuturnya.

Biarpun tidak mempunyai sebarang masalah untuk menjayakan watak tersebut, Ikmal sebenarnya terpaksa menurunkan berat badan supaya tidak kelihatan terlalu besar dalam layar kaca.

“Berat asal saya adalah 72 kilogram (kg). Tidak sesuai rasanya menjayakan watak pelajar sekolah dengan badan yang terlalu sasa.

“Jadi, saya memutuskan untuk mengurangkan berat badan sehingga mencecah 65kg,” kata Ikmal menutup perbualan.

Selain Ikmal Amry, Voice Note turut dilakonkan oleh Sharifah Sakinah, Amelia Henderson dan Ariff Bahran.

Episod akhir Voice Note akan disiarkan pada malam ini di slot Samarinda pukul 10 malam di TV3.

Post a Comment

Previous Post Next Post