Harris Alif Saya bukan budak lagi




Cukup dikenali dengan watak kanak-kanak dan pelajar sekolah menengah, Harris Alif seboleh-bolehnya ingin ‘keluar’ dari watak seperti itu.

Pada usia 20 tahun, jejaka itu ingin mencuba watak baru sesuai dengan usianya. Malah, dia tidak kisah jika diberikan watak sebagai penuntut universiti.

“Mungkin disebabkan saya banyak melakonkan watak kanak-kanak, jadi kebanyakan tawaran yang datang pun adalah watak sebegitu. Rasanya pada usia saya sekarang, saya tidak lagi sesuai melakonkan watak seperti itu.

“Saya bukan mahu tolak rezeki tetapi biarlah sesuai dengan usia. Kalau diberikan watak remaja pun, biarlah logik contohnya jadi penuntut universiti,” katanya yang pernah menjadi juara program Idola Kecil 3 sebelum ini.

Tidak hanya berlakon dan menyanyi, Harris juga mengacara beberapa program seperti Whazzup Ceria, Chichi dan Chacha, 4 Teman dan Bananana Squad.

Harris kini menjadi pengacara untuk Pop Ekpress yang ditayangkan menerusi saluran ntv7. Kepadatan jadual sebagai pengacara membataskan pembabitannya dalam dunia lakonan.

Harris lebih teliti memilih peluang lakonan dan lebih banyak terbabit dengan telefilem kerana penggambaran dijalankan tidak mengambil tempoh yang lama.

“Jadual saya sebagai pengacara agak padat, jadi saya perlu lebih teliti memilih tawaran. Buat masa ini, saya hanya berlakon dalam telefilem saja kerana masa penggambaran yang tidak terlalu lama seperti drama bersiri,” katanya.

Bercerita mengenai karier nyanyian, Harris yang sudah tiga tahun tanpa lagu baru kini tampil dengan single berjudul Pencinta, ciptaan komposer terkenal, Ajai.

Mengharapkan lagu berkenaan diterima baik pendengar, Harris bagaimanapun tidak meletak harapan tinggi untuk mendapat tontonan tinggi di YouTube.

“Selepas beberapa tahun sepi tanpa lagu baru, saya tampil dengan Pencinta. Saya tidak harap dapat jumlah jutaan tontonan di YouTube cecah tapi cukuplah orang tahu saya masih menyanyi.

“Walaupun saya tidak sepenuhnya menyanyi tetapi saya harap ada peluang dan rezeki untuk menyertai program Big Staga mahupun ke pentas Anugerah Juara Lagu,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post