Antara keluarga dan karier Siti Sarah




Jika di atas pentas, wanita genit bersuara merdu ini memegang tanggungjawab sebagai penyanyi yang menghiburkan khalayak umum. Itu kerjaya yang sudah semakin sebati sejak dirinya di bangku sekolah lagi.

Bagaimanapun, jika di rumah, Siti Sarah Raisuddin merupakan wanita biasa yang menggalas peranan sama seperti kebanyakan wanita yang bergelar ibu di luar sana.

Ini kerana, penyanyi yang mencipta populariti menerusi lagu Kesetiaaan itu memegang tanggungjawab sebagai wanita terpenting kepada empat orang insan yang menjadi buah hati dalam keluarga kecilnya

Selain bergelar isteri kepada pelakon dan pelawak Shuib, penyanyi yang mesra disapa dengan nama Sarah itu juga perlu menguruskan tiga orang cahaya matanya iaitu Uwais Alqarni, 8, Dzahira Talita Zahra, 6, dan Ariq Matin, yang kini berusia empat tahun.

Merekalah yang menjadi pelengkap dalam kehidupan Sarah selepas lapan tahun membina kehidupan berumah tangga.

Bahkan, telatah Sarah dalam mendidik anak-anak juga sering mendapat perhatian umum terutamanya dalam kalangan pengikut Instagramnya.

Didik puasa

Bercerita mengenai kedatangan puasa kali ini, Sarah mengakui dia meraikannya seperti tahun-tahun yang sudah. Bahkan, seiring dengan peningkatan usianya, dia kini mengambil ruang untuk memperbaiki diri menjadi insan yang lebih baik.

Di sinilah bulan untuk dia dan anak-anak bersama-sama mengambil kesempatan untuk mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh berkat. Semestinya dua orang anaknya, Uwais dan Talita mula dididik untuk melaksanakan ibadah puasa.

“Saya tidak pernah paksa mereka untuk berpuasa. Cumanya, saya beritahu mereka bulan Ramadan ialah bulan untuk kita semua berpuasa. Jadi sebagai umat Islam kita kena berpuasa.

“Jadi, apabila mereka sendiri yang ingin berpuasa, sebagai ibu, saya meraikan anak-anak saya. Kita tunaikanlah apa yang mereka nak makan apabila tiba waktu berbuka dan bersahur,” kongsi penyanyi berusia 35 tahun itu ketika ditemui Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Cerita Sarah lagi, seperti kanak-kanak lain yang baru berlatih untuk berpuasa, sudah pasti ada ragam-ragam daripada anak-anaknya yang perlu dihadapinya. Bagaimanapun, hal itu dianggap sebagai satu kenangan yang cukup indah.

“Mereka tidak ada mengadu tak tahan ke apa. Bahkan, tak ada pula nak minta untuk berbuka. Cuma, mereka suka bertanya ‘Sekarang ini pukul berapa ibu? Ibu, lagi berapa jam berbuka?’ Itu sahajalah yang sering mereka tanyakan kepada saya.

“Cuma, kalau anak saya nombor dua pula apabila sudah masuk pukul 4 ke 5 petang mulalah nampak macam tak ada mood nak bercakap. Apabila disuruh sikat rambut pun tak mahu,” seloroh Sarah menceritakan kerenah dua orang buah hatinya yang menjalani ibadah berpuasa.

Menurut Sarah lagi, pada malam hari, anak sulungnya, Uwais akan mengikuti suaminya, Shuib untuk mengerjakan solat tarawih pula.

“Kalau balik daripada solat tarawih nanti dia akan mengadu kepada saya ‘Seronoknya, banyak betul Uwais solat hari ini ibu, letih’.

“Lagi satu anak saya ini suka menilai bacaan imam. Bacaan imam itu sedap ke tidak. Anak saya memang minat mendengar lagu-lagu taranum al-Quran,” cerita Sarah.

Kata Sarah lagi, sebagai ibu, dia cukup mengagumi kesungguhan anak-anaknya untuk berpuasa di bulan Ramadan.

“Cuma anak saya yang bongsu, Matin kalau kakaknya balik sekolah, dia boleh pula keluarkan yogurt sejuk daripada peti ais sambil tunjuk-tunjuk makan depan kakaknya.

“Walhal kakaknya macam nak separuh nyawa dah tu. Tapi apapun, mereka memang cukup kuat. Tak kisah adiknya buat apa pun,” kongsi pelantun lagu hit Semakin itu.

Berniaga tudung

Dalam sibuk menguruskan anak-anak, pada masa sama, kongsi Sarah, dia juga kini sibuk membangunkan jenama tudung miliknya, Loveta yang menjadi ‘buah hati’ terbaharunya.

Menurut Sarah, dia mengakui jadual kerjayanya cukup padat sejak dari awal tahun lagi. Jadi, pada bulan Ramadan inilah waktu yang ada untuk dia memberikan fokus kepada bisnes tudung yang ingin diterokainya.

Pengeluaran jenama tudung miliknya juga tidak mempunyai kaitan dengan penghijrahan imej berhijab yang mula diperkenalkannya sejak tahun lalu.

“Tak, saya pakai tudung bukan sebab saya nak berniaga tudung. Kalau perasan, sebenarnya saya mengambil masa yang agak lama sebelum saya muncul dengan tudung jenama sendiri.

“Lagipun sehingga ke hari ini, saya sendiri tidak pernah mengumumkan secara rasmi yang mengatakan saya ini sudah bertudung. Cuma, saya rasa tidak selesa kalau keluar rumah tanpa menutup rambut, “ ceritanya.

Menurut Sarah, dia memilih untuk mengeluarkan jenama sendiri apabila merasakan tidak adil buatnya apabila ada pihak tertentu yang menggunakan gambar dirinya bertudung bagi tujuan promosi jenama tudung milik mereka.

“Jadi, selepas ini apabila orang tanya saya pakai jenama apa, saya pakai jenama saya sendiri, Loveta. Saya nak beritahu orang di luar sana yang saya pakai tudung saya sendiri.

“Lagipun, sekarang ini tudung merupakan item yang saya perlu ada untuk pakai setiap hari. Jadi, saya fikir kenapa tidak untuk saya keluarkan tudung sendiri yang mana saya boleh gunakan juga,” katanya yang kini sibuk membuat jualan tudung itu di Singapura pada Ramadan ini.

Biarpun masih lagi baharu dan belum dilancarkan secara rasmi, produk Loveta mendapat sambutan yang cukup memberangsangkan.

“Saya memang ada minat untuk menceburi bidang perniagaan dan nyanyian. Dua bidang itu merupakan cabang yang saya suka buat.

“Cuma, saya boleh katakan nyanyian itu kepakaran saya, tetapi dalam bisnes saya masih belajar,” jelasnya yang juga memberitahu tudungnya itu mempunyai lebih daripada 30 pilihan warna yang mampu memenuhi cita rasa ramai.

Lebih kurang seminggu lebih lagi bakal menyambut lebaran, katanya hari raya merupakan antara momen yang dinantikan memandangkan itulah waktunya untuk dia berkumpul bersama keluarga besarnya.

“Menjadi kelaziman rumah kami memang akan menjadi tempat berkumpul kedua-dua belah keluarga. Jadi, setiap kali beraya itu memang meriah,” katanya yang kini dalam proses mencari material untuk single terbaharunya.

Post a Comment

Previous Post Next Post