Tidak lagi sebulu, Sheila Rusly doakan kejayaan Janna Nick




Sheila (kanan) sentiasa mendoakan kejayaan Janna Nick dalam bidang lakonan walaupun hubungan dua dramatis itu kini telah tidak sebulu.

Pengarah dan penerbit, Sheila Rusly sentiasa mendoakan kejayaan Janna Nick dalam bidang lakonan walaupun hubungan dua dramatis itu kini telah tidak sebulu.

Sheila, 48, berkata, dia berharap Janna akan memberi fokus terhadap setiap perkara yang dilakukan dan sentiasa ikhlas dalam pekerjaan.

"Mama (panggilan Janna kepada Sheila) dah maafkan Janna. Tidak mengapalah, manusia akan membuat kesilapan dan kadang-kala kita akan berada di satu fasa kita lupa di mana kita bermula.

"Dia masih muda dan perjalanan karier masih jauh lagi. Apa yang dia buat pada saya dan keluarga boleh dijadikan iktibar. Jadilah seorang artis yang membanggakan pengikut," kata Sheila ketika ditemui pada acara pertunjukan fesyen Ariani di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini petang semalam.

Bagaimanapun, Sheila menegaskan, dia masih belum boleh menghadam apa yang Janna telah lakukan kepada dirinya dan keluarga.

"Saya rasa dia dah tahu salah dia, dan dia pun rasa menyesal atas perbuatannya. Saya terima mesej dan permohonan maaf Janna. Sebagai manusia, kita harus memaafkan mereka yang ikhlas untuk memohon maaf. Saya sayang dia sebenarnya. Jika saya tidak sayangkannya, dia tidak akan berada di mana dia berada sekarang.

"Cuma, saya masih belum boleh hadam apa yang dia buat. Terlalu peribadi untuk saya kongsi," katanya lagi.

Terdahulu, dunia hiburan kecoh apabila hubungan baik yang dibina oleh Shiela bersama Janna dilaporkan telah renggang.

Melalui beberapa wawancara, Janna memberi bayangan bahawa keretakan hubungan mereka berlaku ketika kedua-duanya sedang menjalani penggambaran drama bersiri Leftenan Zana.

Nama Janna mulai dikenali selepas kerap membintangi drama terbitan Sheila. Antaranya Syurga Nur, Kau Aku Kita dan Isteri Untuk Diiktiraf.

Post a Comment

Previous Post Next Post