Pernah melalui detik suram dan zaman kejatuhan beberapa tahun lalu tidak pernah membuatkan pesona anggun yang dikenali dengan nama pentas Nana berputus asa apatah lagi tunduk berserah.
Ironi, langkah demi langkah disusun rapi tanpa sekelumit rasa jemu bagi memastikan tugu dirinya terus ampuh dan kekal diterima bakat seninya dalam kanvas nyanyian.
Meskipun percubaaannya pernah nenemui jalan buntu atau bahasa mudahnya titik noktah untuk diteruskan, Nana atau pemilik nama lengkap Siti Nordiana Alias, 35, tidak pernah sesekali menyerah kalah untuk terus mencuba nasib.
“Bohong kalau saya katakan tidak pernah putus asa untuk meneruskan kehidupan dan langkah dalam bidang nyanyian setelah jatuh dan melalui detik suram beberapa tahun sebelum ini.
“Ditambah lagi dengan status saya sebagai ibu tunggal kepada seorang anak dan tanpa sang suami di sisi, ia merupakan satu perkara yang amat berat untuk saya lalui dan jalani.
“Tapi dengan semangat kental dan ribuan azam yang saya miliki, saya tetap tebalkan muka dan bulatkan hati untuk terus menempatkan diri dalam bidang ini hinggalah nama saya diterima semula,” tuturnya tersenyum ketika membuka bicara bersama Sensasi Bintang dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini.
Ujar Nana lagi, dia bersyukur segala usaha dan penat lelahnya kini terbalas dan berbaloi selepas nama dan kedatangannya dalam industri diterima semula buat kali kedua.
“Saya rasa macam seolah-olah kembali hidup semula selepas diterima buat kali kedua dalam bidang yang saya cukup cinta dan minat ini.
“Walaupun pernah muncul dalam industri nyanyian sejak berumur 15 tahun dan boleh dikatakan hampir dua dekad berada dalam gelanggang seni, ia bukan tiket mudah untuk kita terus bertahan serta relevan diterima peminat.
“Buktinya saya sendiri pernah mengalami detik sukar tersebut apabila pernah satu ketika dahulu apa yang saya lakukan semuanya tidak menjadi dan diterima khalayak,” katanya.
Bercerita lanjut, juara Gegar Vaganza (GV) musim kedua itu memberitahu, perkara yang paling tidak pernah dan akan dilupakan adalah ketika pernah melibatkan diri untuk berniaga di kawasan kediaman pangsapuri miliknya bagi menyara kehidupan mendatang.
Katanya, bukan setakat berniaga di bawah kawasan pangsapuri sahaja, pergi rumah ke rumah dengan menjual tudung pun pernah dilakukannya bagi membesarkan anak dan membantu keluarganya tanpa pernah ada rasa malu.
Kembali sibuk
Bagi pelantun lagu popular Paling Comel itu, rezeki Tuhan itu luas dan tiada siapa yang tahu akannnya. Mengakui selepas menyertai dan dinobatkan sebagai juara GV musim kedua 2015 lalu, radius kehidupannya banyak berubah dan kembali sibuk seperti dahulu.
“Alhamdulillah, peluang kedua untuk saya kembali aktif menyanyi seperti sebelum ini hadir dan muncul semula. Sekarang saya dapat rasakan kembali bagaimana sibuknya menguruskan perjalanan karier dan keluarga pada masa yang sama.
“Tiga tahun kebelakangan ini, rezeki datang tidak putus-putus. Bukan sahaja nyanyian, malah lakonan dan pengacaraan serta perniagaan yang saya usahakan turut menyebelahi dan berpihak kepada saya,” ujarnya.
Kongsi Nana, sokongan daripada peminat yang tidak pernah putus hingga ke hari ini turut menyumbang kepada faktor buat dirinya untuk terus kekal berada dan bertahan dalam industri yang cukup sengit ini.
“Jujur saya katakan, satu petua atau rahsia yang saya sentiasa amalkan hingga ke hari ini adalah disiplin dengan apa yang kita lakukan. Berbuatlah baik kepada semua orang, InsyaAllah, kerja dan urusan kita akan turut dipermudahkan.
“Saya bersyukur kerana sentiasa dikelilingi dengan orang yang baik dan positif. Konsep yang saya amalkan juga mudah, kalau boleh elakkan sebarang pergaduhan dan pertelingkahan dengan orang lain dan jangan sesekali berlagak sombong,” ujarnya sinis.
Ditebak mengenai single terbaharunya Hatiku Milikmu yang baharu sahaja dilancarkan April tahun lalu, dia menyatakan keterujaan dan syukur atas sambutan yang menggalakkan walaupun pada awalnya ia agak kurang diputarkan di corong-corong radio.
Katanya, walaupun agak perlahan sedikit penerimaan lagu tersebut pada awal dikeluarkan, namun sambutan yang diterima daripada pendengar dan peminat sangat tidak dijangkakan.
“Syukur Alhamdulillah. Kalau sebelum ini, Terlalu Mencintaimu yang merupakan single pertama selepas saya memenangi GV mendapat sambutan yang baik dan hebat, tidak kurang juga dengan lagu kedua ini.
“Buat masa sekarang saya memang ingin memberikan fokus terhadap bidang nyanyian berbanding cabang lain. Bukan bermaksud mahu menolak rezeki ataupun terlalu memilih, tapi mahu utamakan nyanyian terlebih dahulu.
“Namun, jika ada tawaran lakonan dan pengacaraan yang sesuai dan tidak mengganggu jadual persembahan, saya tidak akan menolak,” tambah penyanyi wanita popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-30 itu.
Pada masa sama, Nana turut berkongsi, dia kini sedang sibuk menguruskan syarikat pengurusan miliknya S&D Soul Entertainment yang berperanan melahirkan dan mencungkil bakat-bakat artis baharu di bawah naungannya sendiri.
Nikah
Tutup soal masa lampau dan perkembangan kerjaya. Ditebak mengenai soal peneman hidup dek kerana sekian lama menjanda dan menggalas taggungjawab sebagai ibu tunggal, Nana memberitahu belum tiba masanya lagi untuk dia berbuat demikian.
Jelas anak kelahiran Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu, dia masih belum terfikir untuk mencari pengganti kepada arwah bekas suaminya, Mohd. Faizal Yusup dan menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada Tuhan.
“Pada saya, belum tiba masanya untuk memikirkan dan mencari pengganti arwah suami. Lagipun, saya baharu saja diberikan rezeki buat kali kedua dan merasa kembali kesibukan dalam karier yang diceburi.
“Kalau boleh untuk masa sekarang, saya ingin fokus mencari wang dan membesarkan anak serta bahagiakan keluarga terlebih dahulu. Bab perkahwinan bukan satu perkara mudah, ia merupakan komitmen dan tanggungjawab.
“Lagipun saya selesa seperti ini. Soal nikah dan kahwin itu, biarlah saya muktamadkan tiga atau empat tahun lagi. Buat masa ini, biarlah saya sibuk dan leka dengan kerjaya, anak dan keluarga tercinta,” tuturnya sambil mengukir senyuman.
Menjawab persoalan dan khabar angin terdahulu mengatakan dirinya sedang hangat bercinta dan mempunyai hubungan mesra bersama beberapa orang seleberiti, Nana hanya mampu tergelak kecil sekali gus menafikan perkara tersebut.
Menurutnya, dia sudah terbiasa dan seakan-akan lali dengan cakap-cakap orang umumnya netizen mengenai perkara tersebut. Pun begitu, selagi ia tidak menjejaskan periuk nasi dan punca rezekinya, Nana tekad untuk tidak ambil pusing tentang perkara tersebut.
“Memang sudah selalu sangat orang kata sebegitu. Macam Khai Bahar, saya memang kerap menyanyi bersama dengannya walaupun di luar. Jika Zoey Rahman pula, saya memang sudah mengenali dan berkawan dengannya sekian lama. Begitu juga denngan Fikri Ibrahim, kami banyak berlakon dan mengacara bersama.
“Selagi belum berkahwin dan bergelar janda, orang memang tak akan berhenti bercakap dan akan terus membuat spekulasi secara melulu.
“Lagipun, semua perkara tersebut adalah atas dasar kerja dan tidak lebih daripada batas sebagai seorang kawan,” ujarnya menutup bicara sambil teruja mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua peminat atas kemenangan buku biografinya berjudul Life Goes On yang mendapat anugerah Buku Umum Terbaik pada Anugerah Buku Negara 2019 baru-baru ini.