Sarah Hildebrand melancarkan kelab peminat




Selepas lima tahun bertapak dalam industri hiburan, pelakon Sarah Hildebrand melancarkan kelab peminat rasminya, #Hildefriends.

Dalam majlis dihadiri 50 peminat bertuah baru-baru ini, Sarah berhasrat menjadikan #Hildefriends sebagai platform membolehkan dia menjalinkan hubungan dengan lebih dekat.

Lebih menarik, Sarah ingin berkongsi minat mengenai buku, kecantikan, isu semasa, aktiviti amal, kerja-kerja pemeliharaan alam sekitar dan makanan dengan peminat setianya.

“Saya tahu #Hildefriends berpotensi menjadi lebih daripada sekadar kelab peminat. Saya rasa perkara ini adalah peluang yang amat baik dan platform untuk memberikan manfaat kepada mereka.

“Saya ingin mereka mengambil bahagian dan sama-sama berkembang menjadi individu terbaik.

“Saya bersyukur apabila ramai yang ingin menyertai kelab #Hildefriends . Bagaimanapun pada majlis ini hanya 50 peminat saja yang bertuah untuk bertemu saya,” katanya.

Menurut Sarah, pelbagai aktiviti sudah dirancang bagi #Hildefriends sepanjang 2019.



Sarah Hildebrand beramah mesra bersama peminat.

“Antara inisiatif yang akan dimulakan tidak lama lagi adalah Kelab Buku #Hildefriends, Kempen Kesedaran Kanser Payudara pada bulan Oktober dan #Hildeburn iaitu sebuah program senaman khusus bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan kehidupan yang positif,” katanya.

Tambah Sarah, sejak membintangi drama bersiri Pujaan Hati Kanda untuk slot Akasia siaran TV3, graf kerjaya seninya mencanak naik hingga mengumpul jumlah peminat yang ramai.

“Watak antagonis memberi kelebihan kepada saya lebih dikenali umum. Saya bersyukur sejak membintangi drama itu, ramai memanggil saya dengan panggilan Nadine. Saya okey saja.

“Saya bersyukur apabila rezeki semakin murah dan segala urusan dipermudahkan.

“Saya harap dapat terus mewarnai industri seni hiburan ini dengan tawaran watak lebih mencabar supaya peminat melihat sisi berbeza saya dalam setiap naskhah yang dibawakan,” katanya yang kini dibawah pengurusan baru, Kolme Management.



Sarah Hildebrand beramah mesra bersama peminat.

Beralih mengenai kehidupan peribadi, Sarah kini menikmati kehidupan solonya dengan gembira selain dapat fokus terhadap kerja.

“Saya berasa lebih senang dengan kehidupan ini apabila dapat fokus terhadap kerja dan keluarga.

“Apabila sibuk dengan kerja, saya tiada masa untuk fikir mengenai hubungan yang sudah berakhir,” katanya.

Tambah Sarah, ada kenalan lama cuba mendekati tetapi dia tidak mengambilnya sebagai sesuatu yang serius.

“Memang ada kawan-kawan lama mesej semula walaupun kita sudah lama tidak berhubung. Saya okey saja.

“Seandainya sampai seru untuk berumah tangga, saya tidak mahu menunggu lama. Namun, buat masa ini saya mahu fokus bina nama,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post