Nazim Othman terkesan dengan perkahwinan bekas isteri




Nazim mengakui terkesan menyaksikan Bella melangsungkan perkahwinan semalam.

Pelakon Nazim Othman, 35, mengakui terkesan menyaksikan bekas isterinya, Bella Daly melangsungkan perkahwinan semalam.

Nazim berkata, perasaan tersebut timbul kerana menyedari kesilapan dan kekurangan diri hingga gagal menyelamatkan perkahwinan mereka yang dibina sekitar dua tahun lepas.

“Ini salah perkara yang orang luar tidak tahu. Saya mengambil pendekatan untuk tidak terlalu menunjukkan perasaan sebenar. Malah, saya tidak ‘wish’ pun di sosial media saya. Cukup orang tahu saya mendoakan kebahagiaan buatnya yang saya pernah luahkan padanya depan-depan.

“Saya tidak boleh marah atau dendam, kerana perceraian berlaku atas pilihan sendiri. Jadi, saya kena terima ketentuan dan hakikat. Saya kena belajar. Pokok pangkalnya dalam rumah tangga adalah lelaki. Saya mengambil iktibar daripada pengajaran perkahwinan terdahulu.

“Sejujurnya, saya masih terkesan lagi. Saya akui perkara itu. Sedikit sebanyak masih ada. Terkesan sebab kenapa tidak pertahankan dan tidak kuat. Saya marah dan rasa ralat pada diri. Dalam beberapa bulan selepas bercerai, saya ‘down’. Kemudian saya kembali okey selepas maafkan diri sendiri,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya, Cerita Kita di sini sebentar tadi.

Nazim menambah, dia turut mendoakan kebahagian kepada bekas isterinya.

“Bella ada menjemput ke majlis perkahwinannya, tetapi dalam nada gurauan. Namun, jika dia menjemput secara rasmi sekalipun, saya tidak akan hadir.

“Hal ini kerana, saya mahu menghormati majlis berkenaan walaupun hubungan saya dan Bella serta ibu bapanya masih baik,” katanya lagi.

Berkongsi mengenai lagu ciptaan Omar K dan Audi Mok itu, Nazim berkata, lagu berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan kisah perceraiannya dan perkahwinan kedua bekas isterinya.

“Lagu ini tidak ada kena mengena dengan sesiapa. Cerita Kita sudah lama disiapkan, iaitu ketika saya masih bersama Bella.

“Malah, Bella sendiri pernah mendengar lagu ini dan memujinya. Saya tidak kisah apa pun persepsi orang terhadap lagu ini,” katanya.

Nazim dan Bella mendirikan rumah tangga pada 10 September 2016 sebelum mengambil keputusan untuk berpisah pada 2 Mei 2018.

Ketika bergelar pasangan suami isteri, Nazim dan Bella tidak dikurniakan cahaya mata.

Post a Comment

Previous Post Next Post