Hael Husaini komited biarpun demam




Penyanyi Hael Husaini tidak mahu menjadikan demam dan sakit tekak sebagai alasan untuk menarik diri daripada beraksi dalam Konsert Evolusi 73 anjuran RTM di Panggung Anniversari, Taman Botani, Kuala Lumpur dan turut disiarkan secara langsung menerusi TV2 malam tadi.

Biarpun tidak sihat, Hael tetap menggagahkan diri apabila tampil berduet dengan Dayang Nurfaizah menerusi lagu Haram dan menyanyikan lagu terbarunya, Hajat.

Hael, 31, berkata, dia perlu memberikan komitmen terbaik seperti yang dijanjikan kepada semua pihak.

“Tak bolehlah saya nak tarik diri. Kalau tarik diri, itu bukan satu kerja yang profesional. Sekurang-kurangnya saya tetap menyanyi juga.

“Saya ada jumpa doktor untuk ambil suntikan tapi antibodi kurang menjadi dan kurang berkesan.

“Saya masih lagi mencari apa yang boleh membantu diri kalau kurang sihat,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, dia agak jarang berdepan masalah kesihatan, namun apabila berlaku ia akan menjadi teruk.

“Saya susah nak demam tapi apabila kena, situasinya memang kurang bagus sehingga boleh membuatkan badan menggigil.

“Nak kata saya terlalu paksa diri untuk bekerja pun tak juga kerana dah biasa bekerja secara berterusan tanpa henti.

“Ini ibarat Allah nak bagi dan minta saya berehat,” katanya.

Hael berkata, dia belum boleh berehat sepenuhnya kerana masih perlu menjayakan persembahan pada hari ini kerana sudah dipersetujui dari awal dengan penganjur.

“Ini berkaitan komitmen dengan semua pihak dan nak tak nak, saya kena buat. Cuma, saya akan pastikan dapat tidur secukupnya untuk cepat pulih daripada sakit.

“Saya harap pihak penganjur juga faham dengan kondisi beberapa hari ini kerana jika tiada masalah kesihatan, saya akan dapat menyanyi dengan sempurna.

“Peminat atau penonton nak tengok saya beraksi. Apabila memegang gelaran sebagai penyanyi, tugas saya ialah menghiburkan mereka,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post