Fazura mahu Astro perjelas situasi, Hans mohon maaf




Fazura (kiri) tetap dengan pendiriannya mahu Hans memohon maaf atas penghantaran mesej WhatsApp terhadapnya.

Pelakon, Nur Fazura Sharifudin tetap dengan pendiriannya yang mahukan aktor Datuk Hans Isaac memohon maaf atas penghantaran mesej WhatsApp terhadapnya berkenaan isu penyampaian anugerah pada malam Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Universal Music Malaysia yang mewakili Fazura dan suaminya, Fattah Amin, pelakon Manisnya Cinta di Cappadocia itu mendakwa pihak Astro perlu menjernihkan keadaan berkenaan kejutan membawa Fattah selaku penyampai bersama bagi Anugerah Khas Juri FFM30.

“Selaku anak seni yang sudah berkecimpung lebih 10 tahun dalam industri, saya tahu protokol majlis rasmi.

“Apa yang berlaku sekarang mencalarkan nama baik saya dan suami. Selain itu, kiriman mesej dari Hans Isaac memburukkan lagi situasi dan saya memohon agar beliau meminta maaf atas tindakannya,” katanya menerusi kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, Ketua Bahagian Kandungan Astro, Namanzee Harris pula enggan memberi sebarang komen berkenaan isu ini memandangkan ia sedang dalam perbincangan bersama pihak Finas.

“Pihak kami sedang berbincang dengan Finas untuk meneliti semula perkara ini, jadi tidak manis untuk mengulas lanjut berkenaan apa yang terjadi,” ujarnya lagi.

Terdahulu, kekecohan timbul apabila Fazura mendakwa ada pihak yang menuduhnya meletakkan syarat mahu tampil bersama Fattah untuk menyampaikan anugerah pada malam FFM30 Sabtu lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post