Gara-gara terjatuh dari pentas selepas ditarik peminat, kaki penyanyi As'ad Motawh bengkak dan lebam pada beberapa bahagian tubuhnya.
Berkongsi video insiden berkenaan di Instagram, kata Asad, kejadian itu berlaku ketika dia mengadakan persembahan Percaya Tour di lokasi terakhir iaitu Centerpoint, Kota Kinabalu, Sabah, semalam.
"Memang dari awal lagi mereka sudah tarik tetapi pengawal keselamatan dapat selamatkan saya. Ketika menyanyikan lagu terakhir, saya pergi ke depan. Dalam fikiran, tiada perkara buruk yang akan berlaku.
"Tidak sangka pula mereka pegang dan tarik dengan kuat sampaikan cincin pun boleh tercabut.
"Ketika saya terbaring di lantai, mereka masih pegang dan peluk tapi alhamdulillah, mereka juga tolong saya untuk naik ke pentas semula," katanya ketika dihubungi.
Awal Mac, As'ad pernah memuatnaik video dipeluk seorang remaja perempuan bertudung ketika sedang menyanyi di atas pentas pada siri jelajah yang sama.
Warganet bagaimanapun menganggap kejadian itu hanyalah sebahagian daripada gimik. Asad kemudian tampil menepis dakwaan berkenaan.
Kejadian kali ini juga dianggap lakonan oleh warganet apabila menerusi video itu As'ad seolah-olah sengaja menjatuhkan dirinya dari pentas.
"Secara jujur, mahu cakap gimik atau bukan, itu hak peribadi masing-masing. Mereka boleh katakan apa yang mereka mahu. Setiap individu ada hak bersuara.
"Mengingat kembali kejadian itu, saya sedikit pun tidak trauma malahan teruja melihat peminat terhibur.
"Ada yang menangis dan menggigil ketika naik pentas pada segmen 'meet and greet'," katanya.
As'ad atau As'ad Ahmad Muhammad Motawh bakal mengadakan jelajah untuk promosi album dijangka dikeluarkan pada penghujung tahun ini.